Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar patut berasa malu kerana tidak dapat membezakan antara Perintal Kawalan Perjalanan (TCO) dan Senarai Pekeliling Khas (SPK).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, atas sebab itu dakwaannya berhubung perjalanannya dikawal kerajaan dipertikaikan banyak pihak.
"Ketua Polis Negara kata Shamsuri bukan penjenayah. Habis cerita. Dia tidak perlu bising-bising.
"Lagi pun apa bukti dirinya diintip oleh TCO?" katanya dalam hantaran Facebook pada 11 April lalu.
Ahmad Samsuri pada 10 April lalu mendedahkan, beliau telah dikenakan TCO dalam sistem kawalan sempadan, menjadikannya seolah-olah seorang penjenayah berbahaya.
Beliau berkata, penandaan sebagai TCO dilakukan oleh satu cawangan khusus yang bertindak seolah-olah beliau adalah seorang yang terlibat dengan sindiket atau gengster.
“Saya telah dilabel dan ditandai sebagai ‘TCO’ dalam sistem kawalan sempadan, oleh satu pihak cawangan khusus. Seolah-olah saya ini adalah seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan satu sindiket dan gangster, atau persona non grata – di tanah air saya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Samsuri menyifatkan pengalaman itu amat mengecewakan kerana setiap kali keluar masuk sempadan, termasuk ke Sabah dan Sarawak, beliau perlu mendapat kelulusan khas dari satu cawangan tertentu.
Mohd Puad menambah, Ahmad Samsuri boleh mengurangkan bercuti di luar negara serta tidak menggunakan khidmat pengawal peribadi atau polis pengiring sekiranya tidak mahu perjalanannya dikawal.
"Tetapi mungkin dia diintip kerana dia adalah calon 'poster boy'. Jadi ada orang dalam rasa terancam. Sebab itu dia diintip.
"Biasalah. Bila sudah jadi orang politik kita akan diintip. Hatta oleh kawan sendiri yang mahu menjatuhkan kita," katanya.
0 Ulasan