Dewan Muslimat PAS mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang memetik isu Palestin bagi mempertikaikan tindakan kerajaan Pahang menebang pokok durian yang ditanam secara haram oleh penceroboh tanah kerajaan.
Pengerusi Lajnah Antarabangsa sayap berkenaan, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, ucapan beliau bersifat menghasut, menyemai kebencian, dan menyakitkan hati umat Islam serta rakyat Malaysia yang telah mencapai kesepakatan nasional dalam menyokong perjuangan Palestin.
Menurut beliau, tindakan menggunakan isu suci itu untuk mempertahankan pelanggaran undang-undang adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima sama sekali.
"Apakah beliau mengharapkan balasan daripada tindakan tidak membantah terhadap usaha nasional membantu Palestin itu menjadi faktor supaya kerajaan membiarkan dan menjadi siri menggalakkkan pencerobohan haram terus bermaharajalela, dan diheret atas meja rundingan yang tidak berkesudahan.
"Pencerobohan tanah kerajaan, penebangan hutan simpan, dan penanaman durian secara haram adalah jenayah yang menyamai taktik Zionis Israel membina penempatan haram di bumi Palestin.
"Ini bukan soal simpati, tetapi soal kedaulatan undang-undang dan keadilan terhadap tanah rakyat," katanya dalam kenyataan media, semalam.
Mumtaz mengingatkan, sokongan terhadap Palestin adalah pendirian nasional yang telah dipersetujui dan para penceroboh tidak mempunyai locus standi untuk melegitimasikan pencerobohan mereka menjadi hak dan undang-undang dengan hujah sedemikian yang disifatkan sebagai manipulasi yang melampau.
Beliau berkata, sebagai seorang Ahli Parlimen, Yu Hui telah menyalahgunakan kedudukannya dengan secara terbuka menyokong perbuatan haram.
"Tindakannya mencemarkan kewibawaan institusi Parlimen dan memberi mesej yang merosakkan kepada rakyat - bahawa undang-undang boleh diketepikan demi kepentingan segelintir pihak.
"Kami menyeru semua pihak agar tidak sesekali memperalatkan isu suci Palestin untuk menjustifikasikan perbuatan yang terang-terangan menyalahi undang-undang negara.
"Jangan khianati perjuangan Palestin dengan lidah yang sama membela kezaliman dalam negara sendiri," jelasnya.
Ahli Parlimen Tumpat itu berkata, PAS kekal konsisten membela nasib rakyat Palestin dan pada masa yang sama menghormati prinsip undang-undang dan kedaulatan negara.
0 Ulasan