Keputusan rayuan titah adendum cetus kegusaran rakyat - UMNO Kedah

 


UMNO Kedah melahirkan rasa amat kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin yang membenarkan Peguam Negara,  Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar merayu terhadap keputusan berhubung titah adendum Yang di-Pertuan Agong berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, keputusan itu sekali lagi membangkitkan kegusaran dalam kalangan rakyat tentang sejauh mana prinsip keadilan sebenar ditegakkan tanpa dipengaruhi unsur tekanan atau kepentingan tertentu. 

Menurut beliau, UMNO Kedah memandang serius perkara ini dan mengingatkan semua pihak agar tidak sesekali mempermainkan semangat kedaulatan undang-undang serta prinsip keadilan yang menjadi teras negara.

"Najib telah menjalani proses perundangan dengan sabar dan penuh hormat terhadap institusi kehakiman negara. 

"Beliau juga berhak mendapatkan keadilan sepenuhnya, termasuk hak terhadap sebarang titah dan keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan media kelmarin.

Shaiful Hazizy menambah, UMNO Kedah berdiri teguh bersama Najib dalam meneruskan usaha mendapatkan pembelaan sewajarnya. 

UMNO Kedah yakin bahawa Najib bersama pasukan peguamnya akan terus berusaha dengan penuh tekad dan professional untuk memastikan hak dan keadilan ditegakkan.

"UMNO Kedah juga ingin menegaskan bahawa institusi kehakiman mesti sentiasa bebas, telus dan adil dalam setiap keputusan. 

"Keadilan tidak boleh dilihat hanya dilaksanakan, tetapi mesti dirasakan dan diyakini oleh rakyat. 

"Sebarang persepsi bahawa keputusan dibuat berdasarkan tekanan politik atau campur tangan luar adalah satu pengkhianatan terhadap prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang," jelasnya.

UMNO Kedah menyeru seluruh ahli UMNO, khususnya di Kedah, serta rakyat Malaysia yang cintakan keadilan, untuk terus menyokong perjuangan ini. 

"Ini bukan hanya soal seorang individu, tetapi soal mempertahankan prinsip keadilan, kedaulatan undang-undang, dan menghormati kuasa institusi Raja Berperlembagaan di negara kita.

"UMNO Kedah percaya bahawa kebenaran akan terserlah akhirnya, dan Najib akan memperoleh keadilan yang beliau berhak dapatkan," katanya.


BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan