Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah menjelaskan, permohonan kelulusan notis perubahan (NoC) projek Kulim Hi-Tech Park (KHTP) Fasa 5 yang dikemukakan ke Kementerian Ekonomi tidak mendapat jawapan balas sama ada diterima atau ditolak untuk tempoh lebih setahun.
Menurut beliau, secara khususnya hampir setiap bulan pegawai tertinggi Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Kulim Technology Park Corporation (KTPC) bermesyuarat dengan pegawai tertinggi Kementerian Ekonomi, malangnya bila sampai agenda NOC ia tidak dibincangkan.
Haim Hilman berkata, jika dibincangkan dan diminta maklumat atau dokumen yang diperlukan oleh Kementerian Ekonomi, pasti pihak Kerajaan Negeri Kedah bersedia melakukannya.
"Apabila isu ini menjadi polemik antara Kerajaan Negeri Kedah dan Kementerian Ekonomi, barulah Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli membuat kenyataan di media sosial dan di Dewan Rakyat.
"Pada masa itu telah terlalu banyak masa terbuang dan masih tidak menyelesaikan masalah," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Semalam, Rafizi meminta Haim Hilman meminta maaf kerana mendakwa kononnya beliau sengaja melengah-lengahkan permohonan kelulusan NoC dan dikatakan cuba mensabotaj projek tersebut.
Haim Hilman menambah, apabila telah habis segala usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kedah menerusi PKNK dan KTPC dengan Kementerian Ekonomi, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor telah mengambil keputusan bertemu terus dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau memberitahu, dalam pertemuan tidak sampai 30 minit, Perdana Menteri telah memberi jaminan dan mengarahkan Kementerian Ekonomi menerima pembatalan NoC yang tidak dijawab itu.
Katanya lagi, Anwar turut mengarahkan memudahcara untuk NoC baharu yang dipohon oleh Kerajaan Negeri Kedah menerusi PKNK dan KTPC untuk membeli tanah asal yang kini telah selesai isu semakan harga di mahkamah.
"Tidak timbul isu mengenai penambahan hutang sebanyak RM180 Juta yang dipohon oleh Kerajaan Negeri Kedah bagi membangunkan KHTP Fasa 5.
"Kerajaan negeri mempunyai kekuatan kewangan yang mencukupi untuk menampung kos tersebut," katanya.
Haim Hilman berkata, pengurusan kewangan yang bijaksana menjadi kunci kejayaan dalam memastikan projek itu dapat dilaksanakan dengan lancar, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat dan negeri Kedah.
1 Ulasan
takbir!
BalasPadam