Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyifatkan tindakan seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai pempengaruh politik dalam mempersoalkan lagu negeri Perak yang dinyanyikan di sebuah sekolah sebagai penyakit bebalisme yang amat memalukan.
Menurut beliau, tindakan individu tersebut yang memfitnah kononnya sekolah terlibat tidak menyanyikan lagu Negaraku amat dikesali dan membuktikan kejahilan serta kebebalan dalam memahami asas kenegaraan.
“Penyakit bebalisme yang ditunjukkan oleh seorang yang mendakwa dirinya adalah pempengaruh politik adalah sangat memalukan.
“Mengapa bebalisme? Pertama, memfitnah. Kedua, tidak tahu membezakan lagu Negaraku dan lagu Negeri Perak.
"Ketiga, tidak punya rasa malu menyebarkan fitnah. Keempat, langsung tidak bertanggungjawab dengan fitnah dan kebebalan yang disebarkan. Kelima, langsung jahil tentang sejarah lagu negeri,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Jelas Fadhlina, budaya memfitnah tanpa fakta dan ilmu adalah punca kerosakan dalam masyarakat dan harus segera ditolak oleh semua pihak.
“Kita harus mengangkat darjat dan martabat negara ini dengan kekuatan ilmu. Bukan dengan bebalisme seperti ini. Kita harus angkat harakat insan dengan menjadi suri teladan bukan pempengaruh yang menunggang isu politik seperti ini.
“Apa yang dipaparkan adalah kejahilan akibat tiada pedoman dan hilang pertimbangan iman akibat lajak memfitnah,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan sekiranya ada parti politik yang bersubahat menggunakan individu seperti itu untuk menyebarkan kebencian dalam masyarakat.
“Jika ada parti politik yang masih menggunakan dan menaja beliau untuk memfitnah dan melakukan kerosakan dalam masyarakat, maka rosaklah muka bumi ini dengan kerosakan yang ditaja,” katanya.
Tambahnya, masyarakat perlu memainkan peranan dalam mengepung anak-anak daripada pengaruh negatif dan menolak ‘pempengaruh’ yang jelik.
“Pempengaruh itu dalam konteks agama adalah mereka yang digelar sebagai yang punya qudwah hasanah, mereka yang mengangkat makarimal akhlaq. Dalam budaya kesantunan kita, mereka adalah golongan yang membawa jenama suri teladan.
“Jangan kerana kebencian dan sikap rasis yang melampau, kebenaran itu gagal diungkapkan dengan kewarasan,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya anak-anak dibesarkan dalam budaya saling memahami dan memperkukuh perpaduan bangsa.
“Anak-anak kita mesti membesar dalam budaya lit-tarafu iaitu supaya mereka saling mengenal, saling memperkuat, saling mendukung dan membina negara ini dengan kekuatan sebagai satu bangsa yang kuat.
“Cukuplah. Kita sudah kebanjiran idola, tetapi kemarau teladan. Kerana pulut, santan binasa. Kerana mulut, badan binasa,” tegasnya.
0 Ulasan