Berikut adalah kenyataan penuh penjual belon, Muhammad Za'imuddin Azlan dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini:
Saya, Muhammad Za'imuddin bin Azlan, seorang warganegara Malaysia. Saya adalah seorang yang berniaga jual belon untuk mencari rezeki halal.
Oleh kerana bulan Ramadan dan Hari Raya hampir tiba saya jual belon 'Part Time' kerana kerja sepenuh masa sebagai kedi golf tidak banyak kerja waktu ini.
Berkenaan kes lampau yang memetik sumber sahaja buat masa ini saya akan membiarkan peguam saya menjawab soalan berkenaan.
Adakah sebab saya pernah ada kes,maka saya tidak boleh cari rezeki halal?
Pada 28.3.2025 saya di Sogo jual belon. Saya tidak jual dadah. Kalau saya bekas penjenayah, maka saya boleh dipukul, ditendang, diterajang, dicekup leher dan diperlaku zalim?
Kalau saya ada kes lampau adakah itu lesen untuk siapa-siapa sahaja boleh pukul saya?
Kalau saya miskin, susah ada kes lampau adakah DBKL boleh layan saya macam sampah?
Kalau saya ada kes lampau, adakah maksudnya saya tidak ada tempat untuk lawan orang yang buat salah dengan saya?
Saya ambil tindakan ini kerana saya ada hak pertahan diri saya dan maruah keluarga saya.
Saya berterima kasih pada semua yang bantu saya.
Ampun Tuanku, patik junjung kasih atas kehadiran anakanda Tuanku Al-Sultan Abdullah ke Hospital bertemu patik.
Begitu juga saya ucapkan pada mereka yang doakan saya dan keluarga saya.
Pada yang komen dan beri kata-kata hina, saya doakan perkara yang kena pada saya tidak akan dilalui oleh anda semua.
Saya lihat video saya dipukul viral. Saya mohon maaf pada ibu, ayah dan kakak serta adik saya.
Saya hendak berubah. Bukan mudah jadi orang miskin dan susah. Saya akan lawan sebab perkara ini zalim.
Pada pihak berkuasa. Tolon jaga integrity. Tolong bertindak ikut undang-undang.
Saya hanya mencari sesuap nasi bagi diri saya dan keluarga saya. Kami pun hendak berhari raya macam orang lain.
0 Ulasan