Berikut adalah kenyataan media Ketua AMK Cabang Tangga Batu, Farzana Hayani Mohd. Nasir hari ini:
Saya ingin menafikan kenyataan YB Datuk Seri Rafizi Ramli semalam yang mendakwa bahawa pemilihan kali ini hanya diadakan semata-mata untuk memberi laluan kepada Saudara Kamil bertanding sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK). Kenyataan tersebut tidak berasas dan tidak menghormati proses demokrasi dalam parti.
Kita semua maklum bahawa Pilihan Raya Umum akan berlangsung dalam masa akan datang. Justeru, adalah amat penting untuk memperkukuhkan jentera parti dengan barisan kepimpinan yang mendapat mandat dan kepercayaan akar umbi. Hanya melalui pemilihan terbuka dan telus, kita dapat melantik pemimpin yang benar-benar diyakini oleh ahli untuk mengetuai pergerakan dan menjadi panglima barisan hadapan dalam menghadapi pilihan raya.
Persoalan yang ditanya ialah, mengapa tiada pencalonan lain untuk menentang Saudara Kamil bagi jawatan Ketua AMK? Mengapa tidak dipersoalkan juga apabila tiada pencabar untuk jawatan Presiden? Ini bukan soal memberi laluan, tetapi soal keyakinan ahli terhadap keupayaan pemimpin.
Akar umbi telah menunjukkan keyakinan penuh terhadap Dato' Seri Presiden untuk terus menerajui Parti Keadilan Rakyat ke arah kemenangan dalam PRU akan datang, sekaligus mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua. Begitu juga dengan Saudara Kamil — majoriti anggota AMK percaya beliau mampu memimpin AMK dengan penuh integriti dan semangat juang, menjelang pilihan raya akan datang.
Saya ingin menegaskan bahawa YB Datuk Seri Rafizi merupakan tokoh penting dalam parti yang amat saya hormati. Sumbangan dan pengorbanan beliau dalam perjuangan Keadilan tidak dapat dinafikan. Marilah kita bersama menghormati suara akar umbi, mengukuhkan barisan kepimpinan, dan bertanding secara sihat demi memperkuatkan parti kesayangan kita. Akhir kata, KITA SEMUA KEADILAN.

0 Ulasan