Isu Jalur Gemilang: PAS Terengganu patut serah diri, bukan sembunyi


Berikut adalah kenyataan media Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat hari ini:

Kita masih ingat bagaimana Pemuda PAS begitu garang dan lantang menyerang insiden kesilapan Jalur Gemilang dalam akhbar Sin Chew tidak lama dahulu. 

Mereka menuntut tindakan tegas, menyindir bahawa permohonan maaf bukan lesen untuk terlepas hukuman. 
Malah mereka cuba meniup api perkauman demi menangguk di air keruh.

Tapi hari ini, apabila kesilapan lebih serius melibatkan PAS, dan sebagai Parti Kerajaan Negeri di Terengganu, mereka memaparkan Jalur Gemilang yang tidak lengkap dan mencemarkan simbol negara, tiba-tiba semua diam membisu, hanya permohonan maaf senyap-senyap, seolah-olah rakyat mudah lupa.

Kalau benar PAS ikhlas mahu menegakkan patriotisme, saya cabar mereka serah individu yang bertanggungjawab kepada pihak polis untuk disiasat. 

Jangan hanya berani bila lawan yang silap, tapi bacul bila sendiri yang buat.

Jangan lupa, Jalur Gemilang bukan milik mana-mana parti politik. Ia lambang kedaulatan negara. 

Kalau mereka sanggup berkeras terhadap orang lain kononnya atas nama cinta negara, mengapa kini pilih jalan selamat bila kesalahan datang dari dalam rumah sendiri?

Ini bukti nyata bahawa ada pihak menggunakan semangat kebangsaan hanya bila ia boleh dipolitikkan untuk kepentingan kaum dan agama. 

Sikap ini bukan saja hipokrit, malah merosakkan asas perpaduan negara.

Kita harus sedar, negara ini tidak akan sihat jika politikus terus menyalakan api perkauman demi meraih sokongan. 

Ketika pihak lain melakukan kesilapan, mereka dihentam tanpa belas. 

Tetapi bila terkena batang hidung sendiri, senyap seribu bahasa. 

Malaysia memerlukan politik yang matang, adil, dan berprinsip, bukan politik dua wajah. 

Cukup-cukuplah bermain dengan sentimen, rakyat kini lebih bijak dan muak dengan permainan hipokrit seperti ini.


Catat Ulasan

0 Ulasan