PAS gesa PMX tuntut keadilan untuk MH17 semasa lawat Rusia

 


Berikut adalah kenyataan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, hari ini:

Lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia dari 13 hingga 16 Mei ini sememangnya mengundang perhatian besar. 

Beliau dijadualkan mengunjungi Moscow sebelum menghadiri Forum Ekonomi Antarabangsa “Russia-Islamic World: KazanForum” di Kazan, Republik Tatarstan. 

Namun lawatan ini berlaku dalam suasana yang amat sensitif dan berisiko menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya waris mangsa tragedi pesawat MH17.

Pada hari yang sama lawatan ini bermula — 13 Mei 2025 — Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), sebuah badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), secara rasmi menetapkan bahawa Rusia bertanggungjawab terhadap insiden penembakan pesawat MH17 di ruang udara Ukraine pada Julai 2014. 

Tragedi ini telah meragut 298 nyawa, termasuk 43 warga Malaysia.

Kerajaan Belanda dan Australia turut menyatakan bahawa bentuk pampasan terhadap tragedi ini akan dibincangkan ICAO dalam masa terdekat.

Maka menjadi kewajipan moral dan politik buat Perdana Menteri Malaysia untuk tidak mendiamkan diri ketika melangkah masuk ke bumi Rusia. 

Lawatan diplomatik tidak seharusnya mengabaikan luka sejarah yang belum sembuh — luka yang masih dirasai oleh keluarga mangsa MH17, dan luka kepada imej serta kedaulatan negara kita sendiri.

Saya menggesa agar:

1. Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan secara rasmi tuntutan Malaysia terhadap kerajaan Rusia untuk:

1.1 Menyampaikan permohonan maaf secara terbuka kepada kerajaan dan rakyat Malaysia

1.2 Memberikan komitmen terhadap proses pampasan yang adil kepada keluarga mangsa tragedi

1.3 Menyokong usaha penegakan keadilan melalui badan antarabangsa seperti ICAO tanpa campur tangan politik

2. Lawatan rasmi ini tidak dijadikan sekadar medan ekonomi dan pelaburan, sebaliknya platform yang bermaruah untuk memperjuangkan hak rakyat Malaysia yang terkorban secara tragik dan tidak bersalah.

Malaysia mesti menunjukkan prinsip yang tegas dan konsisten. Jika Perdana Menteri boleh berbicara lantang dalam isu antarabangsa lain seperti Palestin dan Gaza, maka keadilan untuk 43 warga Malaysia dalam tragedi MH17 juga tidak boleh diketepikan.

Rakyat tidak mahu melihat perdana menteri tunduk kepada diplomasi sehala. Diplomasi yang bermaruah ialah yang berani menyebut kebenaran walaupun di hadapan kuasa besar.

Keadilan untuk MH17 adalah amanah negara. Jangan biarkan ia lenyap demi sekeping foto bersama pemimpin Kremlin.

BACA LAGI

MENARIK



Catat Ulasan

0 Ulasan