PKR masih belum menerima permohonan keahlian secara rasmi daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz setakat ini.
Setiausaha Agungnya, Dr. Fuziah Salleh berkata, semua permohonan keanggotaan PKR dilakukan melalui kaedah memohon secara dalam talian.
Menurut beliau, setiap permohonan akan melalui proses biasa, di mana selepas permohonan dibuat secara dalam talian, ia akan diproses dan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
"Permohonan tersebut akan dipertimbangkan sewajarnya sebelum keputusan dibuat dengan mengambil kira pelbagai sudut pandang, termasuk pandangan rakan rakan didalam Kerajaan Perpaduan serta pendapat akar umbi.
"Sementara itu, saya juga dimaklumkan, Tengku Zafrul akan menunaikan ibadah haji. PKR mendoakan agar beliau selamat pergi dan kembali, serta memperoleh haji yang mabrur," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Semalam Tengku Zafrul memaklumkan beliau telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.
Pada masa yang sama, beliau telah menyatakan niat untuk menyertai PKR yang merupakan sekutu Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan.

0 Ulasan