Angkatan Muda Keadilan (AMK) Gombak mengecam kenyataan Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid, yang mempertikaikan keputusan Datuk Seri Rafizi Ramli mengambil cuti daripada tugas sebagai Menteri Ekonomi sehingga hujung bulan ini.
Ketuanya, Abdul Haris Harap menegaskan, cuti yang diambil oleh Rafizi adalah hak beliau sebagai penjawat awam yang sedang menjalankan amanah besar dalam kerajaan.
"Cuti itu telah dimaklum dan diluluskan oleh Perdana Menteri sendiri, malah beliau turut menyatakan bahawa 'tidak ada isu langsung' berkaitan perkara ini," katanya dalam kenyataan media semalam.
Beliau menambah, sebagai Menteri Ekonomi, Rafizi telah memacu pelbagai inisiatif utama seperti Pelan Hala Tuju Gas Negara, reformasi data ekonomi, dan strategi pelaburan langsung asing (FDI).
Abdul Haris berkata, tanggungjawab itu telah dilaksanakan secara konsisten, dan keputusan mengambil cuti buat sementara bukanlah satu keengganan untuk bekerja, tetapi langkah bertanggungjawab bagi mengimbangi tuntutan kerja dan kesihatan.
"AMK Gombak ingin mengingatkan Harris Idaham pemimpin parti pembangkang agar tidak mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
"Kritik terhadap cuti menteri bukan sahaja tidak berasas, malah menonjolkan kedangkalan politik yang cuba mempolitikkan hak cuti seorang penjawat awam dan merupakan serangan politik murahan semata mata atau pun tunjuk hero," jelasnya.
Menurut beliau, Bersatu sepatutnya lebih prihatin terhadap kelemahan tadbir urus mereka semasa menjadi kerajaan dahulu, termasuk menteri yang bercuti berbulan lamanya ke luar negara tanpa hasil.
"Jangan tunjuk lagak terhadap menteri kerajaan yang bekerja keras dan kini cuma berehat sementara," katanya.
Abdul Haris berkata, AMK menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menolak politik murahan yang menyerang peribadi dan keputusan pentadbiran berdasarkan sentimen sempit.
"Rafizi akan kembali meneruskan tugasnya dan kami yakin beliau akan terus membawa agenda ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

0 Ulasan