Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh mengingatkan Timbalan Pengerusi Biro Hubungan Etnik dan Agama MCA, Roger Yapp supaya memahami sejarah dan asas pembentukan negara.
Menurut beliau, sebagai warganegara, Roger sepatutnya hadam dan faham Perkara 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan.
"Jangan jadi kaduk naik junjung. Selamanya ini adalah Tanah Melayu dan tidak akan berubah perkara tersebut. Faham!!!" tegasnya dalam hantaran Facebook semalam.
Terdahulu, Roger dalam kenyataannya bagi mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia bukan milik mana-mana kaum secara eksklusif.
Dr. Akmal menambah, Roger mesti ingat bahawa di Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.
"Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan walau bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam," jelasnya.
Beliau memberitahu, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan memberikan Yang di-Pertuan Agong tanggungjawab untuk 'menjaga kedudukan istimewa 'Melayu' dan penduduk asli mana-mana Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah komuniti lain.
"Sebelum buat kenyataan yang sebegini, fahamkan sejarah dan asas pembentukan negara terlebih dahulu," katanya.

0 Ulasan