UMNO yang sucikan DAP, bukan PAS, Idris sekolahkan Khaled

 


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dikatakan cuba memutar sejarah apabila mendakwa PAS yang 'menyucikan DAP' melalui kerjasama dahulu. 

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, terdapat perbezaan yang jelas iaitu kerjasama PAS dengan DAP pada masa lalu adalah bersyarat, penuh peringatan dan ditegur secara terbuka. 

Menurut beliau, apabila DAP melanggar sempadan, PAS tegas memutuskan hubungan, walaupun perlu membayar harga politik yang mahal.

"Sebaliknya hari ini, UMNO bersekongkol tanpa teguran, tanpa syarat dan lebih menyedihkan — tanpa prinsip. 

"Malah kemenangan di Ayer Kuning dijadikan hujah untuk 'menyucikan' DAP dan menghalalkan kerjasama jangka panjang. 

"Apakah politik Melayu-Islam kini diletakkan di bawah tapak kaki kepentingan jangka pendek?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, Mohamed Khaled berkata, PAS disifatkan seperti sebuah parti yang tidak dapat untuk 'move on' atau bergerak ke hadapan selepas memutuskan hubungan dengan DAP.

Katanya, atas sebab itu PAS seperti cemburu apabila melihat DAP selaku bekas rakannya itu kini berbaik dengan Barisan Nasional (BN).

Idris menambah, PAS tidak pernah cemburu sebaliknya parti itu tegas. 

"Kami tidak berdendam, tetapi kami tidak melupakan. Ketika UMNO sendiri suatu ketika dahulu menuduh DAP sebagai ancaman terhadap Islam, Melayu dan institusi raja-raja, kini mereka pula berpeluk mesra dalam kamar politik yang sama. 

"Maka soalnya: siapa sebenarnya yang tidak mampu 'move on'? Siapa yang hari ini sanggup menggadai prinsip demi kelangsungan kuasa?" soalnya.

Beliau berkata, jika PAS menolak DAP, itu berlandaskan rekod penentangan parti itu terhadap pelaksanaan syariah, kenyataan-kenyataan yang menyentuh sensitiviti umat Islam, dan kedegilan DAP mempertikaikan perkara-perkara asas Perlembagaan seperti hak keistimewaan Melayu dan institusi Islam. 

"Adakah pendirian tegas ini satu bentuk 'penunggang agama', atau bukti kesetiaan terhadap prinsip perjuangan?" katanya.

BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan