Rafizi jangan desperado serang ahli parti sendiri

 


Ketua PKR Cabang Tebrau Prakash Maniam menyarankan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berhenti melakukan 'pembulian fakta' kerana terlalu desperado mahu mempertahankan kuasa. 

Menurut beliau, sebagai  menteri dan pemimpin nombor dua PKR, Rafizi seharusnya menyemak fakta sebelum menyerang ahli parti sendiri di khalayak ramai.

"Semalam Rafizi menyerang saya bukan orang Tebrau dan mempersoalkan kemenangan saya sebagai Ketua Cabang menewaskan dua Ahli Parlimen iaitu Ahli Parlimen Segamat dan Tebrau. 

"Saya nak maklumkan kepada Rafizi, saya ialah anak jati Tebrau . Lahir dan membesar di sini. Saya masuk PKR melalui cabang Tebrau sebagai ahli sejak 2018. Malah sebelum  bertanding sebagai Ketua Cabang,  saya juga merupakan  Naib Ketua Cabang Tebrau untuk sesi 2022 hingga 2025.

"Saya cukup kecewa dan sedih apabila pemimpin seperti Rafizi Ramli menyerang ahli parti sendiri tanpa sebarang kepastian.  Dahlah beliau tidak pernah turun padang dan jumpa akar umbi di sini dan hanya pandai jerit di atas pentas. 

"Beliau tak kenal kami. Kamilah suara akar umbi yang banyak bergerak di peringkat akar umbi untuk mendengar suara mereka dan membantu rakyat. Tolonglah hentikan fitnah, jangan  tipu. Itu adalah dosa besar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Prakash menambah,  PKR meraikan demokrasi dan setiap ahli mempunyai hak untuk bertanding.  

"Jangan sesekali memperlekehkan kemampuan, kebolehan seseorang pemimpin akar umbi yang bertanding di peringkat cabang. 

"Saya berharap ahli-ahli parti dapat menilai manipulasi fakta yang cuba digerakkan oleh Rafizi ketika musim pemilihan ini atas nama HIRUK.

"Para perwakilan perlu bangkit dan menolak perbuatan fitnah seperti ini demi menjamin masa depan parti," katanya.

BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan