Sabah kaya berbilion RM tapi masalah air, elektrik, jalan berlubang tak selesai


Berikut adalah kenyataan media Ahli Parlimen Libaran merangkap Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir hari ini:

Sebagai Ahli Parlimen yang mewakili suara rakyat di Libaran, saya terpanggil untuk mengangkat persoalan yang kian menghantui rakyat Sabah saban hari. 

Kita dihidangkan dengan laporan yang menyebut Sabah mencatat kutipan hasil balak sebanyak RM5.3 bilion sejak tahun 1999, dengan purata RM213 juta setahun realitinya, kehidupan rakyat masih dihimpit dengan masalah asas yang tidak kunjung selesai.

Soalan paling mudah yang ditanya rakyat, dari Libaran hingga ke Likas, dari Tawau ke Tuaran. Ke mana perginya semua kekayaan negeri Sabah?

Hari ini, bukan sahaja penduduk di kawasan pedalaman yang berhadapan dengan masalah air dan elektrik malah di tengah-tengah ibu negeri sendiri, Kota Kinabalu, gangguan bekalan air dan elektrik sudah menjadi kebiasaan. Tangki simpanan air bukan lagi kemudahan tambahan, tetapi satu keperluan wajib. Generator elektrik bukan lagi untuk kilang, tapi untuk rumah biasa.

Begitu juga dengan jalan raya. Masih banyak yang berlubang, rosak, dan membahayakan pengguna. Dalam daerah Libaran sendiri, banyak kawasan luar bandar yang masih menanti sentuhan pembangunan asas yang sepatutnya menjadi tanggungjawab utama kerajaan negeri.

Kerajaan negeri saban hari mengumumkan pelbagai kejayaan daripada pensijilan hutan, pelan karbon, hingga kepada peruntukan ekologi namun rakyat masih dihantui masalah air, menyalakan lilin, dan mengelak lubang di jalan raya.

Adakah ini wajah sebenar kemajuan yang dibanggakan? Saya percaya rakyat Sabah sudah cukup lama bersabar. Mereka bukan menolak pembangunan, mereka hanya meminta hak mereka dikembalikan hak untuk hidup selesa, berbekalkan kemudahan asas yang stabil dan berterusan.

Sebagai wakil rakyat, saya ingin tegaskan bahawa suara rakyat ini tidak wajar dipandang sinis atau dianggap sebagai “skeptikal”. Mereka berhak bertanya, mereka berhak tahu.

Maka, saya ulang persoalan yang lahir dari hati rakyat. Kalau hasil negeri berbilion, kenapa masalah air, elektrik dan jalan raya masih belum selesai?

Kita tidak memilih waktu untuk membela mereka, kita hadir waktu mereka memerlukan, bukan hanya ketika mahu undi.

Soalan ini bukan untuk menuding jari, tapi untuk menuntut kebertanggungjawaban. Rakyat Sabah berhak menerima lebih baik.


Catat Ulasan

0 Ulasan