Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merujuk kertas siasatan berhubung dengan kematian Teoh Beng Hock yang telah ditemui meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di bahagian luar koridor Tingkat 5, Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor kepada Jabatan Peguam Negara.
Jabatan tersebut telah meneliti dan mengkaji keseluruhan kertas siasatan yang dikemukakan.
"Hasil penelitian terhadap keseluruhan keterangan mendapati tiada bukti yang mencukupi untuk membuktikan apa jua kesalahan terhadap mana-mana individu di bawah undang-undang.
"Oleh itu, arahan yang diberikan adalah supaya tiada tindakan lanjut diambil berhubung dengan kertas siasatan ini," kata Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan media hari ini.
Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan PDRM untuk melengkapkan siasatan kes kematian Beng Hock dalam tempoh enam bulan.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa mendiang Beng Hock terhadap Ketua Polis Negara, Pengarah Siasatan Jenayah PDRM, PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai respoden pertama hingga keempat.
Beng Hock ditemukan meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.
Mendiang adalah Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang ketika itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.
Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga dalam kematiannya manakala pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian mendiang memutuskan bahawa kematiannya akibat membunuh diri.
Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.

0 Ulasan