Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini mengambil langkah proaktif dengan menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan Projek MyKiosk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya sebagai tanda komitmen kementerian dalam memastikan ketelusan dan integriti projek tersebut.
Langkah ini diambil berikutan aduan yang telah dibuat oleh pihak tertentu tentang dakwaan berlaku penyelewengan dalam pelaksanaan projek MyKiosk.
Justeru, hari ini KPKT yang diwakili oleh Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Dato’ Mohd Fadzli bin Mohd Kenali dan pasukan KPKT tampil secara sukarela memberikan kerjasama sepenuhnya dengan menyerahkan dokumen-dokumen berkenaan inisiatif MyKiosk meskipun belum menerima mana-mana permintaan daripada pihak SPRM.
Ini membuktikan komitmen tinggi KPKT dalam memperkukuhkan sistem pengurusan dan mematuhi prinsip tadbir urus yang baik.
KPKT juga ingin memastikan tiada elemen salah guna kuasa atau penyelewengan yang terlibat dalam pelaksanaan program MyKiosk yang bertujuan untuk memanfaatkan penjaja kecil.
KPKT sentiasa komited untuk memastikan semua inisiatif dan program kerajaan dilaksanakan dengan penuh integriti.
Dengan menyerahkan dokumen-dokumen ini kepada pihak SPRM, kami berharap dapat memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa setiap urusan dan pelaksanaan program adalah telus dan mengikut prosedur yang betul.
Pihak kementerian berharap agar langkah ini dapat memberikan gambaran jelas kepada rakyat bahawa kerajaan sentiasa berusaha mempertingkatkan integriti dalam segala aspek pentadbiran dan perkhidmatan awam.
Untuk makluman, KPKT telah menyalurkan maklumat terperinci mengenai inisiatif ini melalui saluran media sosial rasmi yang boleh diakses oleh orang awam.
Semua perolehan serta pelantikan kontraktor MyKiosk telah dilaksanakan oleh 133 PBT melalui sebut harga terbuka.
Hasil daripada proses tender tersebut, sebanyak 795 kontraktor telah dilantik oleh PBT di seluruh negara.
Kos siling bagi MyKiosk 2.0 adalah RM25,000.
Harga bagi setiap unit kiosk adalah munasabah dan membolehkan kontraktor bersaing secara adil melalui proses sebut harga yang telus dan terbuka di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing.
Kesemua peruntukan berkaitan MyKiosk telah disenaraikan dalam Inisiatif Belanjawan dan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Di bawah Seksyen 27(1) Akta SPRM, adalah menjadi satu kesalahan jenayah bagi mana-mana pihak yang membuat pernyataan palsu atau dimaksudkan untuk mengelirukan kepada pegawai Suruhanjaya.
Perbuatan sedemikian, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya.

0 Ulasan