Mana keadilan yang dijanjikan kepada keluarga Teoh Beng Hock?

 


Keluarga Teoh Beng Hock sangat kecewa dengan keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengambil tindakan lanjut terhadap kes kematian mendiang hampir 16 tahun lalu.

Adik mendiang, Teoh Lee Lan berkata, keluarganya telah menerima surat daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang memaklumkan siasatan semula kes itu ditutup dengan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA).

“Saya rasa seolah-olah kami masih terperangkap dalam zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN). Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sama masih tidak bertanggungjawab. 

"Pasukan polis yang sama enggan menyiasat SPRM. Kesimpulan kabur yang sama dibuat. Pembunuh yang sama masih bebas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dalam pertemuan dengan keluarganya pada 1 Ogos 2024 telah merayu agar mereka mempercayai sistem dan pasukan polis yang baharu.

“Tetapi apa yang sistem baharu ini beri kepada kami? Hanya kekecewaan yang berterusan. Sistem baharu masih mengganggu keluarga Teoh dengan alasan untuk merakam kenyataan. 

"Sistem baharu masih melindungi pegawai SPRM yang bertanggungjawab atas kematian Beng Hock.

“Sistem baharu masih membenarkan pelaku jenayah terlepas daripada keadilan. Sistem baharu masih menutup korupsi, penyalahgunaan kuasa, pelanggaran hak asasi manusia dan ketidakadilan era BN,” katanya.

Tambah Lee Lan, keluarga Teoh ingin bertanya kepada Anwar: “Adakah negara ini beroperasi dengan dua set undang-undang dan piawaian – satu untuk golongan berkuasa dan satu lagi untuk rakyat biasa?

“Apabila tokoh berpengaruh ditahan dan didera, pelaku dihukum. Tetapi apabila rakyat biasa mati dalam tahanan selepas soal siasat, pelaku diberi pangkat dan kekayaan selama 16 tahun.”

Beliau turut mempertikaikan konsep Malaysia Madani sekiranya ia hanya meneruskan sistem gelap dan penindasan, dan menyoal apakah makna sebenar perubahan politik.

“Adakah visi reformasi yang pernah diimpikan oleh Teoh Beng Hock dan janji keadilan kepada kami sekeluarga hanyalah alat untuk merampas kuasa?” soalnya.

Menurutnya, semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada Jun 2018, Jemaah Menteri bersetuju membuka semula siasatan kes tersebut malah janji yang sama diulangi oleh Anwar dalam pertemuan pada Ogos tahun lalu.

Lee Lan berkata, antara janji Anwar termasuk membuka semula kertas siasatan berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 5 September 2014, yang memutuskan bahawa kematian Beng Hock berpunca daripada perbuatan jenayah oleh individu tidak dikenali termasuk pegawai SPRM.

“Janji lain termasuk permintaan agar penyiasat jenayah antarabangsa terkenal dilantik bagi membantu pihak berkuasa tempatan. 

"Namun Anwar menyatakan perkara itu perlu dibincang lanjut dengan Ketua Polis Negara dan hingga kini tiada sebarang kemajuan.

“Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa siasatan tidak akan berlarutan dan hasilnya akan diketahui dalam tempoh satu hingga dua tahun,” katanya.

Namun, tegas Lee Lan, pihak berkuasa terus menyiasat kes itu di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan (kurungan salah), bukan Seksyen 302 (bunuh) seperti yang diperintahkan Mahkamah Rayuan. 

Lebih memburukkan keadaan, katanya, tiada seorang pun pegawai SPRM yang terbabit dalam soal siasat Beng Hock ditahan atau didakwa, malah kes ditutup lebih awal.

“Kami merayu agar Perdana Menteri menunaikan janjinya. Rakyat telah meletakkan harapan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan PH untuk melakukan reformasi institusi dan memastikan akauntabiliti.

“Ibu bapa Beng Hock, Teoh Leong Hwee dan Teng Shuw Hoi, sudah terlalu uzur untuk menanggung penantian yang tidak berpenghujung. 

"Inilah masanya untuk menunaikan janji Malaysia Baharu dan memastikan keadilan ditegakkan,” katanya.

BACA LAGI

MENARIK





Catat Ulasan

0 Ulasan