Kenapa pengampunan PMX dianggap sah, tetapi titah adendum Najib tidak? - Puad

 

Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi sudah menjangka keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini tidak memihak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Atas sebab itu, beliau tidak terlalu mengharap Najib akan dibenarkan menjalani baki hukuman penjara di rumah.

"Drama ini berlarutan dua tahun. Titah adendum disorok. Keputusan oleh Mahkamah Rayuan dirayu oleh Peguam Negara

"Peguam Negara adalah penasihat undang-undang kepada kerajaan. Siapa nasihat Peguam Negara agar merayu?" soalnya dalam hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak semakan kehakiman yang difailkan Najib justeru menyebabkan beliau perlu menjalani hukuman penjara yang berbaki tiga tahun di Penjara Kajang.

Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari 2024.

Keputusan itu menyebabkan titah adendum berhubung perintah tahanan di rumah terhadap Najib tidak dapat dilaksanakan.

Najib kini menjalani hukuman penjara setelah didapati bersalah dalam kes SRC International.

Mohd. Puad turut mempersoalkan mengapa pengampunan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap sah walaupun Peguam Negara dan Menteri Wilayah Persekutuan belum dilantik ketika itu.

"Apa langkah seterusnya? Saya jawab, saya akan ikut keputusan perwakilan Perhimpunan Agung UMNO bermula 15.1.2026. "Keyakinan saya tidak akan berubah. Saya meyakini hujah Tan Sri Abdul Rahman Sebli bahawa Najib tidak mendapat perbicaraan adil. Tunggu PAU 2026. Lebih baik, Kita Jaga Kita." jelasnya.

BACA LAGI








Catat Ulasan

0 Ulasan