Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan kenyataan Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin yang gembira apabila mahkamah memutuskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kekal menjalani baki hukuman di penjara sebagai amat kurang ajar, melampau dan langsung tidak berperikemanusian.
Menurut beliau, jika Bee Yin tidak mampu untuk menzahirkan sekelumit perasaan simpati sekalipun, janganlah mengeluarkan kenyataan kurang ajar dan menyakitkan hati.
"Apatah lagi yang dihina merupakan bekas pemimpin tertinggi yang amat disayangi oleh seluruh keluarga besar UMNO yang hari ini membantu membentuk Kerajaan Perpaduan.
"Mungkin sudah tiba masanya untuk UMNO memperhalusi kembali kerjasama yang terjalin jika masih ada pihak yang tidak mahu menghargai sumbangan dan perjuangan UMNO selama ini," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Bee Yin gembira apabila mahkamah hari ini membuat keputusan tersebut terhadap Najib.
"Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak semakan kehakiman yang difailkan Najib justeru menyebabkan beliau perlu menjalani hukuman penjara yang berbaki tiga tahun di Penjara Kajang.
Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari 2024.
Keputusan itu menyebabkan titah adendum berhubung perintah tahanan di rumah terhadap Najib tidak dapat dilaksanakan.
Najib kini menjalani hukuman penjara setelah didapati bersalah dalam kes SRC International.

0 Ulasan