Penganalisis politik, Datuk Eric See-To berpandangan, UMNO patut mengumumkan dengan tegas bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam apa-apa cara pun pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menurut beliau, UMNO perlu berterus terang akan melawan PH, sama seperti parti itu menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025.
"Tanpa UMNO dan sokongan orang Melayu - walaupun sudah berkurang - yang UMNO bawa, PH memang tak akan menang PRU16, sama macam mereka gagal PRU15 dulu.
"Malah pada PRU15 yang lalu, prestasi PKR sebenarnya agak teruk apabila mereka hanya memenangi 31 kerusi, iaitu susut 16 kerusi berbanding PRU14.
"Parti Amanah pula turut merosot apabila hanya memperoleh 8 kerusi, turun 3 kerusi berbanding 11 sebelum ini," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Eric mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin hari ini yang gembira apabila mahkamah memutuskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kekal menjalani baki hukuman di penjara.
Kebiadaban Bee Yin itu mencetuskan bantahan keras para pemimpin UMNO dan ada yang mendesak agar parti itu menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.
Eric menambah, anak Perdana Menteri iaitu Nurul Izzah Anwar sendiri tewas di kubu keluarganya di kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan hanya mendapat 37 peratus undi.
Beliau berkata, itu bermakna Nurul Izzah ditolak hampir dua pertiga pengundi.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim pula hanya menang di Tambun dengan majoriti yang tipis apabila memperoleh sekadar 39.8 peratus daripada keseluruhan undi - bermakna lebih 60 peratus daripada pengundi Tambun tolak dia.
"Inilah benda yang PMX paling takut - tak dapat bergantung kepada pengundi Melayu UMNO.
"Kalau dia kalah pada PRU16 dan tak kekal jadi PM maka siaplah dia," katanya.

0 Ulasan