Titah adendum: Jangan keruh suasana, tambah ketegangan - PMX

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekalipun ada pihak yang memilih untuk tidak menzahirkan simpati kepada Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya, adalah tidak wajar untuk mengeruhkan suasana atau menambah ketegangan dalam keadaan yang sensitif ini.

Beliau merujuk kepada penghakiman berhubung isu titah adendum yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

"Saya menyeru semua pihak agar menangani isu ini dengan penuh sabar dan bijaksana," katanya dalam kenyataan media hari ini. 

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak semakan kehakiman yang difailkan Najib justeru menyebabkan beliau perlu menjalani hukuman penjara yang berbaki tiga tahun di Penjara Kajang.

Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari 2024.

Pertikaman lidah tercetus antara pemimpin-pemimpin UMNO dan DAP berikutan kenyataan biadab Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin bahawa keputusan kes titah adendum wajar diraikan.

Anwar turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh kepada prinsip penegakan negara hukum serta pengasingan kuasa. 

Menurut beliau, badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar. 

"Atas prinsip inilah saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh hakim.

"Maka, atas prinsip kedaulatan undang-undang, semua pihak wajar menghormati keputusan yang telah dibuat oleh hakim, termasuk ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia untuk mengemukakan rayuan, selain kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada," jelasnya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan