Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar menegaskan pendaftaran bak kut teh sebagai warisan kebangsaan pada 2024 tidak mengancam budaya Melayu atau Islam, sebaliknya polemik yang dibangkitkan pembangkang disifatkan sebagai permainan politik berunsur ketakutan dan penipuan terhadap orang Melayu.
Beliau berkata, naratif kononnya budaya Melayu 'dibunuh' di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya kerana pengiktirafan tersebut adalah dangkal, berbahaya dan memperlekehkan akal fikir masyarakat Melayu.
“Pertama, pendaftaran sebagai warisan kebangsaan bukan pengisytiharan makanan nasional, bukan galakan orang Islam makan, dan bukan agenda menghapus budaya Melayu.
"Ia hanyalah proses pendokumentasian sejarah makanan komuniti, selaras dengan realiti Malaysia sebagai negara majmuk. Fakta ini mudah, tetapi sengaja diputar belit,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mahfuz turut menolak dakwaan yang mengaitkan Anwar dengan kewujudan bak kut teh, sambil menegaskan hidangan itu telah lama dijual secara terbuka di negara ini sejak puluhan tahun lalu.
“Bak kut teh bukan ciptaan Anwar. Ia telah wujud dan dijual secara terbuka di Malaysia sejak puluhan tahun, termasuk sepanjang 22 tahun pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad, zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan zaman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Kenapa ketika itu pembangkang senyap? Jawapannya jelas ini bukan soal makanan, ini soal kebencian politik terhadap Anwar,” katanya.
Beliau menjelaskan, pengiktirafan warisan kebangsaan tidak mempunyai kaitan dengan status halal yang ditentukan oleh hukum syarak, bukannya oleh Jabatan Warisan Negara.
“Kalau logik songsang pembangkang diterima, maka sejarah, budaya dan warisan bukan Islam tidak boleh langsung dikaji, didokumen atau diiktiraf. Ini bukan Islam, ini ketakutan bodoh yang menyamar sebagai agama,” tegasnya.
Menurut Mahfuz, Islam tidak terancam hanya kerana kerajaan mengiktiraf kewujudan budaya kaum lain, sebaliknya agama itu rosak apabila dijadikan modal politik serta alat menanam kebencian dan ketakutan.
“Islam runtuh bukan kerana bak kut teh, tetapi kerana agama dijadikan modal politik, ketakutan ditanam dalam minda Melayu, kebencian dijual sebagai perjuangan,” katanya.
Beliau turut menegaskan budaya Melayu tidak akan mati hanya kerana pengiktirafan warisan kaum lain, sebaliknya ia terancam apabila kepimpinan sanggup memperdaya bangsanya sendiri demi kepentingan politik.
“Budaya Melayu mati apabila pemimpinnya menipu bangsanya sendiri, maruah Melayu dipertaruhkan demi undi, dan orang Melayu dianggap selemah ini kononnya boleh ‘hilang identiti’ kerana satu hidangan makanan,” katanya.
Mahfuz berkata, polemik tersebut tidak wajar diteruskan kerana ia menghina kematangan Islam dan jati diri orang Melayu.
“Bak kut teh tidak membunuh Melayu. Politik bodoh dan penipuanlah yang cuba membunuh keyakinan Melayu. Jangan hina Islam dan Melayu dengan naratif murahan ini.
"Melayu yang yakin dengan jati diri dan Islam yang matang tidak takut kepada kepelbagaian, sebaliknya takut kepada kepimpinan yang memperbodohkan rakyatnya sendiri,” katanya.

0 Ulasan