Berikut adalah kenyataan media bekas Ketua PKR Cabang Kota Samarahan, Nazirol Samaa'ail pada 1 April 2026:
Saya, Nazirol Samaa’ail, dengan ini mengumumkan bahawa surat peletakan jawatan rasmi saya selaku Ketua PKR Cabang Kota Samarahan telah pun diserahkan kepada Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak.
Keputusan untuk meletakkan jawatan dan keluar daripada PKR ini berkuat kuasa serta-merta.
Tindakan drastik ini diambil secara kolektif dan sebulat suara oleh seluruh barisan kepimpinan utama termasuk Naib-Naib Ketua Cabang, Setiausaha Cabang, Setiausaha Pengelola, Ketua Penerangan, Bendahari, Pengerusi Tetap, Pemeriksa Kira-Kira, barisan AJK Cabang, serta lebih 50 orang ahli akar umbi yang paling setia di Kota Samarahan.
Keputusan ini adalah muktamad berdasarkan asas-asas tegas berikut:
KEGAGALAN TOTAL RESPON PIMPINAN NEGERI DAN PUSAT
Kami ingin menegaskan bahawa segala bentuk ketidakpuashatian hati telah pun disuarakan secara rasmi melalui saluran yang betul sebelum ini.
Surat rasmi telah dihantar kepada MPN dan satu lagi surat aduan telah dikemukakan kepada PKR Pusat.
Namun, amat mengecewakan apabila kedua-dua pihak memilih untuk membisu tanpa sebarang surat balas mahupun jawapan. Sikap tidak acuh ini membuktikan bahawa suara akar umbi tidak lagi dihargai.
PENYERAHAN SURAT RASMI KEPADA MPN
Sebagai tanda keseriusan dan noktah kepada perjuangan kami dalam wadah ini, surat peletakan jawatan secara rasmi telah pun diserahkan kepada pihak MPN.
Kami tidak lagi mahu dikaitkan dengan sebarang keputusan atau aktiviti parti yang kini dilihat gagal menjaga keharmonian antara kepimpinan atasan dan mandat di peringkat cabang.
MEMBERI LALUAN KEPADA "KRONI" ATAU "PEMIMPIN MESRA" MPN
Kami sedar wujudnya persepsi sengaja dicipta bahawa kepimpinan kami "tidak mesra" dengan MPN. Kami tidak berminat untuk menjadi penghalang kepada agenda pihak tertentu.
Oleh itu, kami mengosongkan ruang ini sepenuhnya bagi memberi laluan kepada individu yang dianggap "mesra" untuk menerajui cabang mengikut selera pimpinan atasan.
PENGORBANAN DEMI AKAR UMBI KOTA SAMARAHAN
Kami tidak sanggup melihat kebajikan akar umbi di Kota Samarahan terus dianaktirikan hanya disebabkan dinamika hubungan yang toksik antara Cabang dan MPN.
Biarlah pengunduran kami ini menjadi jalan untuk ahli-ahli di bawah mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pimpinan baharu kelak.
Peletakan jawatan secara besar-besaran ini adalah isyarat jelas bahawa maruah perjuangan kami tidak boleh dibeli atau dipandang remeh.
Kami tidak akan berkompromi dengan kepimpinan yang gagal mendengar denyut nadi pejuang di lapangan.
Fokus kami kini kembali sepenuhnya kepada mandat rakyat dan pembangunan komuniti di Kota Samarahan tanpa perlu terikat dengan kerenah birokrasi politik yang melumpuhkan.

0 Ulasan