Perikatan Nasional (PN) memandang serius kenaikan berterusan harga diesel yang dijangka mencecah RM6.02 seliter, setelah kenaikan terbaru ke RM5.52 seliter di Semenanjung Malaysia sebelum ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenaikan mendadak dalam tempoh singkat itu dijangka memberi tekanan yang besar kepada perniagaan, rantaian bekalan dan kos sara hidup rakyat.
Menurut beliau, keadaan bertambah rumit dengan tekanan kemungkinan kenaikan tarif elektrik yang tertakluk kepada mekanisme pelarasan harga bahan api turut berpotensi terus meningkatkan kos operasi perniagaan dalam pelbagai sektor secara meluas dan berganda syarikat perniagaan dalam sektor utama, termasuk logistik, pengangkutan, pertanian, pembuatan, peruncitan dan pengedaran makanan, telah memberi amaran bahawa kenaikan kos input ini sukar ditampung dan berkemungkinan besar menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
"Banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang beroperasi dengan margin tipis berkemungkinan terhad keupayaannya untuk menyerap kos tambahan, sekali gus meningkatkan risiko inflasi kos yang menjejaskan kelangsungan perniagaan mereka.
"Lebih membimbangkan, arah dasar kerajaan melalui rasionalisasi subsidi dan penentuan harga berdasarkan mekanisme pasaran menunjukkan bahawa pelarasan harga bahan api mungkin akan diteruskan.
"Keadaan ini menimbulkan ketidaktentuan bagi perniagaan dan isi rumah, selain menyukarkan perancangan kos dan pelaburan jangka panjang," katanya dalam kenyataan media pada 2 April 2026.
Takiyuddin berkata, PN menuntut kerajaan menjelaskan:
1. Unjuran harga diesel untuk beberapa bulan akan datang
2. Sama ada harga RM6.02 merupakan tahap harga maksimum atau tertakluk kepada pelarasan selanjutnya
3. Impak kenaikan tarif elektrik terhadap perniagaan dan inflasi
4. Langkah-langkah segera dan konkrit untuk melindungi perniagaan dan isi rumah daripada tekanan kos terkumpul.
Menurut beliau, PN juga mengambil perhatian bahawa PETRONAS terus menikmati keuntungan daripada harga tenaga global yang tinggi, termasuk melalui eksport LNG, yang menyumbang kepada penambahan hasil negara dengan ketara.
"Justeru PN mencadangkan agar kerajaan mengenakan cukai durian runtuh atau cukai tenaga sementara ke atas industri minyak dan gas berikutan perkembangan dan keuntungan luar biasa yang dinikmati," jelasnya.
"Ini membolehkan kerajaan melindungi ekonomi secara keseluruhan dan efektif, sama ada untuk tujuan pemberian subsidi, pelepasan cukai, insentif kos dan sebagainya bagi mengawal kesan kenaikan harga bahan api.
Takiyuddin berkata, pada masa yang sama, PN menggesa kerajaan menjelaskan mekanisme penentuan harga diesel yang digunakan, terutamanya apabila kenaikan harga domestik kelihatan tidak sepadan dengan pergerakan harga global.
Menurut beliau, ketelusan mengenai kadar pertukaran, kos, margin dan komponen fiskal harga akhir adalah penting bagi meningkatkan keyakinan awam dan menstabilkan sentimen pasaran.
Takiyuddin berkata, PN juga sekali lagi merakamkan kebimbangan mengenai perbezaan harga diesel yang semakin ketara antara Semenanjung Malaysia (RM5.52–RM6.02) dan Sabah/Sarawak (RM2.15) yang berpotensi menimbulkan persepsi beban kos yang kelihatan tidak adil dan tidak munasabah.
"Perbandingan harga serantau juga menunjukkan harga diesel di negara jiran setakat 1 April kekal lebih rendah iaitu Thailand - RM4.99 seliter, Indonesia - RM1.60 (peribadi) hingga RM3.37 (komersial), Vietnam - RM5.40 dan China - RM4.80 seliter.
"Dengan harga diesel mencecah RM6.02 seliter, Malaysia berisiko menjadi antara negara dengan harga tertinggi di rantau ini, walaupun kita merupakan negara pengeluar minyak dan gas," katanya.
Beliau berkata, dalam pada itu, kerajaan juga perlu mewujudkan mekanisme penstabilan harga dengan menetapkan harga siling atau penampan bagi menghindari kenaikan harga mendadak yang jelas negatif impaknya.
"Dari sudut lebih luas dan berjangka sederhana, kerajaan boleh menimbangkan langkah penyediaan penanda aras harga pasaran serantau bagi melunakkan persepsi dan sentimen awam berkait keadilan harga dan keberkesanan dasar serta tindakan yang diambil," katanya.

0 Ulasan