Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan agar kes insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka yang mengorbankan tiga nyawa diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan tersebut dibuat selepas pihaknya menerima taklimat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 16 Disember lalu.
Menurut kenyataan itu, klasifikasi semula berkenaan adalah selaras dengan tanggungjawab perlembagaan jabatan untuk memastikan siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang dan bukti yang ada.
Bagaimanapun, AGC menegaskan bahawa tindakan itu tidak bermaksud wujud sebarang kesalahan jenayah pada peringkat ini memandangkan siasatan masih dijalankan oleh pasukan khas PDRM di Bukit Aman.
Sehubungan itu, AGC menyeru orang awam termasuk pengulas serta pengguna media sosial agar tidak membuat spekulasi, andaian atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.
"Siasatan kes ini masih dijalankan oleh pasukan khas PDRM di Bukit Aman. Justeru, integriti proses siasatan perlu dipelihara.
"Orang awam disaran tidak menyebarkan maklumat yang boleh menurunkan keyakinan terhadap sistem keadilan, katanya.
Dalam pada itu, AGC berkata, individu yang mempunyai maklumat, rakaman, gambar atau bukti berkaitan insiden digalakkan tampil memberi kerjasama bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh, objektif dan berfakta.
Jabatan tersebut memberi jaminan bahawa sebarang keputusan pendakwaan akan dibuat berdasarkan undang-undang dan keterangan yang boleh diterima, tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam.
"Semua pihak diingatkan untuk menghormati proses pengadilan demi kepentingan keadilan dan semua pihak yang terlibat, menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, AGC akan terus bekerjasama rapat dengan PDRM untuk meneliti kes berkenaan dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

0 Ulasan