Ramkarpal persoal keputusan NFA kes Teoh Beng Hock

 


Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mempersoalkan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap kes kematian Teoh Beng Hock.

Menurut beliau, keputusan itu sangat mengecewakan dan bercanggah dengan dapatan Mahkamah Rayuan dalam rayuan keluarga Beng Hock terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Majistret berhubung inkues kematian mendiang.

“Makluman daripada Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor Beng Hock surat bertarikh 20 Mei 2025 menyatakan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengklasifikasikan siasatan kes kematian Teoh sebagai NFA pada 19 Mei 2025. 

"Ini sangat mengecewakan dan bercanggah dengan dapatan Mahkamah Rayuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, surat tersebut turut memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan berkaitan penahanan yang tidak sah.

“Dengan segala hormatnya, tiada sebarang justifikasi kenapa siasatan dihadkan kepada Seksyen 342 semata-mata, sedangkan terdapat bukti yang menunjukkan kematian Beng Hock akibat jatuh dari Ibu Pejabat SPRM di tingkat 14 Plaza Masalam, Shah Alam, pada tahun 2009 penuh dengan keraguan.

“Itulah sebabnya Mahkamah Rayuan membuat kesimpulan seperti berikut: ‘Kematian Teoh Beng Hock berpunca daripada kecederaan berganda akibat jatuh dari Tingkat 14 Plaza Masalam, yang disebabkan oleh, atau dipercepatkan oleh perbuatan menyalahi undang-undang oleh individu tidak dikenali, termasuk pegawai SPRM yang terlibat dalam penahanan dan soal siasat si mati’,” katanya.

Ramkarpal juga mempersoalkan sama ada AGC kini mahu mengatakan bahawa tiada langsung bukti wujudnya perbuatan menyalahi undang-undang dalam siasatan yang telah dijalankan selama 16 tahun.

Menurutnya, keseluruhan siasatan dilihat dijalankan dengan lemah kerana mengambil masa terlalu lama untuk diselesaikan.

“Malah, kegagalan berterusan PDRM untuk menyelesaikan siasatan menyebabkan keluarga Beng Hock tiada pilihan selain memulakan tindakan undang-undang bagi memaksa siasatan diteruskan. 

"Mahkamah Tinggi pada 21 November 2024 telah mengarahkan siasatan diselesaikan dalam tempoh enam bulan,” jelasnya.

Ramkarpal berkata, fakta bahawa Beng Hock berada dalam tahanan SPRM ketika kematiannya wajar menimbulkan kebimbangan dan persoalan serius sama ada pegawai agensi tersebut terlibat secara langsung atau tidak.

Sehubungan itu, beliau menggesa Peguam Negara menjelaskan sebab keputusan NFA dibuat kerana terlalu banyak persoalan yang masih belum terjawab.

“Walaupun diakui Peguam Negara tidak wajib menyatakan alasan bagi keputusan NFA, saya mendesak beliau berbuat demikian dalam kes ini kerana ia jelas berkepentingan awam.

“Orang ramai dan keluarga Beng Hock berhak tahu, antaranya: mengapa siasatan tidak dijalankan di bawah kesalahan bunuh atau bunuh tanpa niat selepas keputusan Mahkamah Rayuan?; mengapa AGC sendiri tidak mengesahkan keputusannya?; adakah dapatan Mahkamah Rayuan itu silap?; kenapa PDRM mengambil masa terlalu lama?; adakah keputusan NFA ini dibuat untuk mengelak implikasi undang-undang akibat kegagalan mematuhi perintah Mahkamah Tinggi?; dan adakah bukti-bukti yang dikemukakan sebelum ini, termasuk dalam prosiding inkues, dianggap tidak mencukupi?” katanya.

Tambah beliau, kematian Beng Hock merupakan episod hitam dalam sejarah negara dan persoalan akan terus timbul sekiranya Peguam Negara enggan memberikan penjelasan.

“Dalam keadaan ini, saya mendesak Peguam Negara untuk segera menyatakan sebab di sebalik keputusan NFA ini demi ketelusan dan akauntabiliti untuk manfaat rakyat dan keluarga mendiang,” tegasnya.

BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan