Setiap ahli dan penyokong UMNO di semua peringkat digesa supaya benar-benar menghayati hasrat dan matlamat Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam usaha mengembalikan dominasi UMNO dalam landskap politik negara.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menegaskan bahawa parti itu tidak boleh terus dilihat sebagai sekadar pelengkap dalam Kerajaan Perpaduan, sebaliknya perlu tampil sebagai tonggak utama yang membawa hala tuju tersendiri.
“Ini adalah untuk menyahut seruan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO mesti kembali dominan. Penting untuk setiap ahli parti di peringkat akar umbi memahami aspirasi Presiden ini.
“Kita tidak mahu lagi dilihat sebagai hanya pelengkap… namun kita juga mesti dilihat kembali dominan. Namun dalam soal itu, ia tidak menggugat (kerjasama Kerajaan Perpaduan). Setiap parti ada visi dan hala tuju masing-masing.
“Pastinya Datuk Seri Presiden telah menetapkan bahawa ini adalah hala tuju UMNO dan sudah semestinya Selangor tidak ketinggalan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Selangor, semalam.
Pada masa yang sama, Megat Zulkarnain yang juga Ketua UMNO Bahagian Gombak memaklumkan bahawa satu pelan strategik telah digubal dan dibentangkan kepada kepimpinan negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Maka sebab itu saya telah merangka satu pelan yang dibincangkan di peringkat pengurusan. Masuk saja dua tahun sebelum pilihan raya, kita akan masuk ‘gear enam’ untuk persediaan berhadapan dengan PRU16.
“Jadi, apa yang berlaku hari ini dan beberapa bulan sebelum ini adalah antara persiapan supaya UMNO Selangor boleh bangkit semula,” katanya.
Tambah beliau, kesiapsiagaan jentera di setiap bahagian amat penting untuk memastikan usaha memperkukuh kedudukan UMNO di negeri itu mencapai hasil yang diharapkan.
0 Ulasan