Iswardy ramal Rafizi tidak main peranan kempen PRU-16 PKR

 


Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama barisan penyokongnya yang kalah dalam pemilihan parti baru-baru ini dijangka tidak akan memainkan peranan penting dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Bekas pemimpin PKR Sarawak, Iswardy Morni mendakwa,  Rafizi bukan sahaja tidak akan dicalonkan, malah berkemungkinan besar tidak akan terlibat langsung membantu jentera parti dalam menghadapi PRU akan datang.

“Saya jangkakan nama-nama pro-Rafizi akan berhenti dari menyertai pilihan raya seperti pernah berlaku pada 2004 sehingga kita hanya tinggal satu kerusi Parlimen,” tulis beliau menerusi laman Facebook miliknya malam tadi.

Menurut Iswardy, selepas kehilangn jawatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi tidak lagi memikul tanggungjawab memimpin kempen PRU sebagaimana yang dilakukannya sebelum ini kerana tugas itu kini secara rasmi digalas oleh Timbalan Presiden baharu, Nurul Izzah Anwar.

“Dia (Nurul Izzah) dengan sedar memilih langkah ini dan dengan yakin mengatakan dia mampu. 

"Maka segala mata tertumpu kepada dirinya untuk memimpin kita ke jalan kemenangan membawa Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri untuk penggal kedua. 

"Dia tidak dipaksa untuk memilih jawatan tersebut. Dia memilih untuk memikulnya!” ujarnya.

Tambah beliau, keputusan Nurul Izzah untuk mengambil alih tanggungjawab daripada Rafizi dibuat secara sukarela dan penuh sedar, manakala Rafizi dan kumpulannya pula memberi laluan tanpa sebarang tentangan.

“Bila Rafizi dan timnya hendak ketepi memberi laluan kerana Nurul Izzah, kenapa mereka pula disalahkan?

“Sistem menipu atau tidak, atau Rafizi diketepikan secara penipuan atau tidak, itu tidak penting bagi saya kerana saya sudah kenal parti ini dan Anwar Ibrahim sejak dahulu lagi.

“Saya sudah faham lama. Namun, secara faktanya, Nurul sendiri mahu ke depan dan bertembung dengan Rafizi untuk jawatan tersebut.

“Maka TIDAK ada istilah – ‘aku sudah menang, tapi Rafizi masih kena pikul tanggungjawab ini – Jangan lari!’.

“Tidak wujud istilah itu. Nurul kena pikul tugas berat ini. Nurul dan pasukan damainya,” katanya.

Dalam pada itu, Iswardy turut menetapkan tempoh enam bulan sehingga Disember ini untuk melihat sama ada Nurul Izzah mampu mencetuskan gelombang perubahan yang diperlukan bagi mengembalikan semangat perjuangan dalam PKR dan Pakatan Harapan (PH).

“Mungkin PRU-16 ini kita tidak tinggal satu kerusi seperti pada 2004. Namun, kalau ditanyakan apakah prediksi saya, saya boleh katakan – tunggu enam bulan sehingga Disember 2025 ini.

“Kalau Pakatan Harapan masih lesu tanpa Rafizi dan teamnya dan Izzah gagal membawa gelombang yang sama atau lebih hebat, itulah indikasi – Anwar tidak akan menjadi Perdana Menteri buat penggal kedua, dan berakhir legasi politik Anwar Ibrahim anak-beranak.

“Melainkan dan sehingga dia boleh membuktikan enam bulan ini gelombang dapat dicipta, maka itulah indikasi jawapan kepada PRN Melaka, Johor, Sarawak dan akhirnya PRU16. Percayalah…,” ujarnya.

BACA LAGI

MENARIK




Catat Ulasan

0 Ulasan