Berikut adalah kenyataan media Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin semalam:
Pada 19 Jun 2025, panel Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan berhubung dengan pertikaian yang dibangkitkan oleh SIS Forum (Malaysia) terhadap Fatwa Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama yang telah diwartakan di Negeri Selangor pada 31 Julai 2014.
Secara ringkasnya, Mahkamah Persekutuan melalui keputusan majoriti memutuskan fatwa tersebut adalah SAH setakat mana ia merujuk kepada perkara berikut:
(i) Mahkamah mengiktiraf bahawa fatwa dan pembuatan fatwa berkaitan ajaran sesat adalah bidang kuasa Negeri, selagi ia tidak melangkaui Senarai Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan;
(ii) Perenggan 1 fatwa bertarikh 31 Julai 2014 tidak terpakai kepada SIS Forum (Malaysia), pertubuhan atau institusi dan hanya terpakai kepada individu. Individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam; dan
(iii) Mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam seperti dalam perenggan 4 fatwa bertarikh 31 Julai 2014.
Mahkamah Persekutuan juga memutuskan bahawa perkara-perkara berikut adalah TIDAK SAH:
(i) perenggan 2 dalam fatwa bertarikh 31 Julai 2014 yang menyatakan mana-mana bahan-bahan penerbitan berkaitan fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah diharamkan dan boleh dirampas; dan
(ii) perenggan 3 fatwa bertarikh 31 Julai 2014 yang menyatakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hendaklah menyekat laman-laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan Hukum Syarak.
Ini kerana perenggan 2 dan 3 fatwa bertarikh 31 Julai 2014 menyentuh tentang agensi dan kuasa agensi Persekutuan yang merupakan perkara-perkara yang di luar bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa, MAIS dan Kerajaan Negeri untuk membuat fatwa menurut Butiran 1 Senarai II dalam Perlembagaan Persekutuan.
MAIS menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan ini, namun MAIS tidak bersependapat dengan sebahagian daripada keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut khususnya yang memutuskan bahawa fatwa bertarikh 31 Julai 2014 hanya terpakai kepada individu tetapi tidak terpakai kepada SIS Forum (Malaysia), pertubuhan atau institusi.
MAIS menzahirkan rasa dukacita kerana keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut secara tidak langsung telah mencampuri urusan pembuatan dan pemakaian fatwa yang berkaitan dengan persoalan Hukum Syarak.
MAIS juga menzahirkan kebimbangan bahawa keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan dalam kes ini akan membuka ruang kepada kumpulan tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk berselindung di sebalik nama Islam dalam sesebuah syarikat, pertubuhan atau institusi bagi mengamal dan menyebarkan ajaran sesat yang bertentangan dengan ajaran Islam supaya tindakan penguatkuasaan tidak dapat diambil terhadap mereka.
Di samping itu, jika perkara ini dibiarkan berterusan, ia akan mengelirukan dan boleh menjejaskan akidah umat Islam.
Dalam masa yang sama, MAIS bersetuju dan menyokong penuh pendekatan penghakiman bertentangan (dissenting judgment) daripada YA Hakim Dato Abu Bakar bin Jais apabila beliau menyatakan bahawa bidang kuasa untuk memutuskan pertikaian berhubung dengan fatwa ini adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah berdasarkan kepada pendekatan hal perkara (subject matter approach).
Beliau juga menyatakan walaupun dalam kes ini syarikat yang terlibat bukan merupakan “orang sebenar” atau “natural person” yang boleh menganut agama Islam, namun syarikat ini adalah tertakluk kepada fatwa.
Ini berdasarkan kepada nama SIS iaitu “Sisters in Islam” yang jelas menunjukkan identiti Islam serta aktiviti syarikat ini yang mengeluarkan penerbitan dan kenyataan tentang hal-hal berkaitan agama Islam.
Ini ditambah pula dengan fakta bahawa pengasas dan pengarah syarikat berkaitan adalah terdiri dari kalangan orang Islam. Pendekatan penghakiman bertentangan (dissenting judgment) ini adalah selaras dengan hujah yang dikemukakan oleh MAIS dalam kes ini yang merujuk kepada konsep “orang buatan” atau “artificial person” atau “syakhsiyyah i’itibariyyah” dalam kehakiman dan jurisprudens Islam yang membolehkan tindakan diambil terhadap sesebuah syarikat atau pertubuhan.
MAIS memberi jaminan bahawa MAIS bersama-sama dengan badan penguat kuasa agama di Negeri Selangor akan sentiasa memantau dan menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan ajaran sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam ini dapat dibanteras.
MAIS juga menggesa dan menasihatkan masyarakat Islam untuk tidak terlibat atau memberikan sokongan terhadap apa-apa program yang berkaitan dengan fahaman yang telah difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam termasuk fahaman liberalisme dan pluralisme agama.
MAIS juga menegaskan komitmen MAIS untuk meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri serta sokongan institusi Raja bagi tujuan memperkasa perundangan sedia ada demi memartabatkan kedudukan agama Islam selaras dengan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.
Pendirian MAIS ini telah disembah maklum kepada DYMM Sultan Selangor dan Baginda juga telah menzahirkan kekecewaan dan dukacita dengan sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyentuh pemakaian fatwa bertarikh 31 Julai 2014 yang tidak terpakai kepada SIS Forum (Malaysia), pertubuhan atau institusi, sebaliknya hanya terpakai kepada individu.
DYMM Sultan Selangor menegaskan bahawa penyalahgunaan perkataan “Islam” dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam. Sehubungan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, DYMM Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Negeri Selangor menggesa agar SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan “Sisters in Islam” ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka supaya perkataan “Islam” tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut.

0 Ulasan