Berikut adalah kenyataan media Ketua Penerangan MUDA, Leben Siddarth semalam:
MUDA menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Mantan Presiden MUDA, YB Syed Saddiq Abdul Rahman daripada semua sabitan dan hukuman. Keputusan sebulat suara itu membuktikan bahawa berlaku miscarriage of justice yang serius dalam proses perbicaraan terdahulu.
Namun, MUDA amat kecewa apabila dimaklumkan bahawa pihak pendakwaan berhasrat untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan sekali gus menandakan bahawa kerajaan hari ini memilih untuk meneruskan pendakwaan terhadap seorang tokoh muda yang konsisten menentang rasuah dan memperjuangkan reformasi institusi.
Cukuplah dengan alasan kononnya ini adalah pendakwaan zaman pentadbiran dahulu. Hari ini, kerajaan MADANI telah memegang kuasa hampir dua tahun. Peguam Negara berada di bawah Jabatan Perdana Menteri. SPRM pula kekal tanpa reformasi, dan Ketua Pesuruhjayanya masih tidak dipertanggungjawabkan.
Rayuan ini berlaku atas keputusan struktur kuasa yang wujud hari ini bukan semalam.
Lebih mengecewakan, kenyataan hasrat untuk merayu ini dilaporkan oleh media kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM terlebih dahulu, dan bukannya kepada mahkamah atau peguam bela. Ini menimbulkan persoalan besar terhadap kebebasan dan pemisahan kuasa antara institusi pendakwaan dan agensi penyiasat.
Sebagai parti politik yang konsisten memperjuangkan #UndurAzamBaki, mendesak pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta mendedahkan skandal integriti institusi Malaysia tidak hairan sekiranya rayuan ini adalah bentuk tekanan politik terhadap gerakan gelombang reformasi yang benar.
MUDA ingin nyatakan dengan tegas bahawa MUDA tidak akan berundur. MUDA akan terus mara, dan MUDA tidak akan tunduk kepada pendakwaan terpilih atau intimidasi politik.
0 Ulasan