Ahmad Maslan minta ahli UMNO, BN jangan sertai himpunan Turun Anwar

 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengingatkan semua ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) agar tidak terlibat dalam perhimpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur esok.

Beliau menegaskan, penyertaan dalam perhimpunan yang dianjurkan oleh Perikatan Nasional (PN) itu tidak wajar memandangkan UMNO dan BN merupakan sebahagian daripada komponen Kerajaan Perpaduan.

“Langsung tiada faktor yang mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim diturunkan daripada jawatan Perdana Menteri.

“Kerajaan Perpaduan ini dibentuk hasil kesepakatan yang dicapai pada 24 November 2022 dan ahli UMNO serta BN perlu kekal berpegang kepada persefahaman tersebut,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Daerah Pontian di Pejabat Daerah Pontian, hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, himpunan tersebut bukan sahaja tidak membawa sebarang kebaikan, malah boleh menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi negara.

“Perhimpunan seperti ini tidak membawa sebarang manfaat, malah mereka yang menyertainya akan turut terpalit sebagai pihak yang merosakkan kestabilan politik dan ekonomi negara,” katanya.

BACA LAGI




Catat Ulasan

0 Ulasan