Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) menolak sebarang cubaan merampas kuasa secara tidak demokratik serta menyeru kepada kestabilan politik demi kemajuan rakyat dan negara.
Dalam kenyataan bersama, HIKAM berkata, usaha menjatuhkan kerajaan melalui “pintu belakang”, tekanan politik tidak sah atau perancangan seumpama Langkah Sheraton 2.0 adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi.
“HIKAM dengan tegas menolak usaha menjatuhkan kerajaan melalui ‘pintu belakang’, tekanan politik yang tidak sah atau perancangan seumpama Langkah Sheraton 2.0.
"Peralihan kuasa hanya wajar berlaku melalui pilihan raya yang adil dan bebas, selari dengan prinsip syura dan suara rakyat,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut HIKAM, kestabilan politik merupakan tunjang utama kepada kemajuan negara, dan sebarang cubaan menggugatnya hanya akan merosakkan ekonomi serta menambah penderitaan rakyat.
“Islam mengajar agar mengutamakan maslahat ummah dan menolak kerosakan (mafsadah) yang timbul daripada perebutan kuasa tanpa asas demokratik,” katanya.
HIKAM turut menyeru semua pihak kembali kepada adab siasah serta jalan dialog dan rundingan sebagai mekanisme utama semak dan imbang dalam sistem politik negara.
“HIKAM menyeru semua parti politik, termasuk pembangkang, untuk memainkan peranan semak dan imbang secara beradab dan bertanggungjawab.
"Sekiranya terdapat kelemahan dalam kerajaan, ia harus ditegur secara hikmah melalui dialog dan mekanisme perundangan yang sah, bukan melalui hasutan atau manipulasi kuasa,” jelas kenyataan itu.
Pada masa yang sama, HIKAM menggesa tumpuan diberi kepada usaha pemulihan dan reformasi negara agar hasil kekayaan dapat dinikmati secara saksama oleh seluruh rakyat.
“HIKAM menyeru semua pihak untuk bersama-sama fokus kepada usaha memulihkan dan mereformasi negara daripada rasuah wang dan kuasa, daripada pengayaan elit tertentu kepada pengagihan kekayaan negara yang saksama kepada rakyat, bagi memacu negara yang lebih sejahtera,” katanya.
Justeru, HIKAM mengajak umat Islam dan rakyat Malaysia bersatu mempertahankan kedaulatan demokrasi dan menyokong agenda pembangunan negara berasaskan prinsip Malaysia MADANI.
“Politik Islam adalah menjunjung amanah, bukan merebut kuasa dengan tipu daya,” kata kenyataan itu.
HIKAM merupakan gabungan empat gerakan Islam iaitu Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN).
Kenyataan itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung WADAH, Azizuddin Ahmad; Setiausaha Agung IKRAM, Mohd Hafiz Abd Hamid; Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Aliemran Norasid dan Setiausaha Agung HALUAN, Mohd Sabbri Md Yudin.
0 Ulasan