Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi secara sinis berkata, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi ‘pihak yang kalah’ selepas perhimpunan Turun Anwar esok.
“Anwar tidak akan turun-turun. Tunggu sahaja PRU-16. Semoga kita semua panjang umur untuk melihatnya sendiri,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Menurut beliau, walaupun ada pihak yang berdebar menantikan natijah perhimpunan tersebut, namun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak tergugat.
“Anwar pasti tidak berdebar-debar. Dia pernah buat demonstrasi ‘Undur Mahathir’ tahun 1998.
"Tun M tidak turun pun. Hatta PRU 1999 dan PRU 2004 BN tetap menang majoriti dua pertiga,” katanya lagi.
Ujarnya, kegusaran sebenar dirasai oleh PAS yang menjadi penyumbang terbesar kehadiran ke perhimpunan itu.
“PAS berdebar-debar bukan kerana Anwar akan turun atau tidak. Tetapi apakah sasaran kehadiran 500 ribu orang akan tercapai.
"90 peratus kehadiran bergantung kepada ahli PAS. Maka PAS lebih fokus kepada jumlah yang hadir. Maruah PAS terjejas jika jumlah kehadiran 500 ribu tidak tercapai,” katanya.
Tambah beliau, perhimpunan tersebut akan lebih berkesan jika UMNO turut serta seperti mana kerjasama UMNO dan PAS dalam perhimpunan ICERD pada 2018.
“Kerajaan PH 1.0 terpaksa membatalkan ratifikasi ICERD bila UMNO-PAS bergabung dalam perhimpunan raksasa 2018,” katanya.
0 Ulasan