Pemimpin-pemimpin DAP digesa mengemukakan cadangan konstruktif atau memohon maaf secara terbuka berhubung isu pemansuhan tol yang pernah dijadikan janji politik mereka sebelum ini.
Naib Presiden MCA, Datuk Ir. Lawrence Low berkata, gesaan itu dibuat susulan penjelasan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Dewan Rakyat hari ini bahawa pemansuhan tol bukan langkah mudah kerana melibatkan kos yang terlalu besar.
“Justeru, pemimpin-pemimpin DAP digesa supaya mengemukakan cadangan konstruktif yang dapat membantu kerajaan merealisasikan janji-janji yang pernah dibuat khususnya oleh pemimpin DAP sebelum ini berkenaan pemansuhan tol.
“Jika tidak, pemimpin DAP yang kini memiliki 40 Ahli Parlimen harus meminta maaf secara terbuka dan mengakui menipu rakyat semata-mata mahu mendapatkan undi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, rakyat tidak wajar dipersalahkan sekiranya mereka menuntut janji yang pernah ditabur dalam manifesto sebelum ini, terutama dalam situasi ekonomi semasa yang mencabar.
“Selain menuntut janji, rakyat juga mengharapkan kebajikan mereka dibela, lebih-lebih lagi dalam berdepan ketidaktentuan ekonomi pada ketika ini,” katanya.
Lawrence turut berharap kerajaan mendengar dan mengambil kira pandangan rakyat pelbagai latar belakang dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), khususnya menerusi sesi libat urus yang sedang dijalankan.
“Kerajaan diharapkan mendengar dan mengambil kira input rakyat pelbagai latar belakang sepanjang sesi libat urus dijalankan seperti wakil-wakil persatuan pengguna, pemain industri, komuniti peniaga khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), golongan B40 dan M40, masyarakat luar bandar serta belia supaya dapat menggubal dasar-dasar yang lebih mesra dan fleksibel demi kepentingan negara secara keseluruhannya,” katanya.
0 Ulasan