Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menempelak kenyataan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang disifatkan mencemarkan nama Islam yang sering dijaja oleh parti tersebut.
Menurut beliau, Islam menuntut perdamaian, namun tindakan memperlekeh usaha damai menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab oleh wakil rakyat dari parti yang menggunakan nama Islam sebagai label.
“Menurut Fadhli Shaari iaitu Ketua Penerangan PAS, ‘Kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang.’
“Mendamaikan orang bertelingkah apatah lagi berperang amat dituntut oleh Islam. Peperangan itu membawa musibah. Ramai akan terkorban.
"Tapi malang sekali apabila ahli parlimen daripada parti bertopengkan Islam meremehkannya,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Tegas Mohd. Puad, kenyataan sedemikian mencemarkan nama Islam dan menggambarkan hipokrasi sebuah parti yang menjadikan Islam sebagai alat politik.
“Nama Islam tercemar oleh parti yang menjaja nama Islam. Mengharamkan parti politik guna perkataan ‘Islam’ sudah tentu akan dibantah. Kerajaan akan dituduh anti-Islam. Ada baiknya PAS ganti perkataan Islam dalam huruf ‘alif’ (PAS).
“Mungkin PAS boleh tukar huruf ‘alif’ itu kepada Parti Islah SeMalaysia, Parti Insaf SeMalaysia atau Parti Inqilabiyah SeMalaysia. Yang penting ada bunyi ‘arab’.
"Arabic ada konotasi Islam. Seperti Parti Amanah Negara (parti serpihan PAS),” katanya.
0 Ulasan