Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim menolak dakwaan seorang individu yang mengaitkan ketua-ketua UMNO bahagian dengan tuduhan palsu.
Ketua UMNO Bahagian Batu itu berkata, tuduhan kononnya pemimpin UMNO bahagian berpura-pura memperjuangkan nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak berasas, selain beliau sendiri tidak mengenali individu berkenaan.
“Terus terang saya katakan tidak pernah mengenali siapa gerangan Datuk Talahah yang membuat kenyataan berunsur fitnah berhubung addendum diraja Bossku di laman sosial Facebook,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Menurut beliau, tuduhan kononnya ketua-ketua UMNO bahagian hanya berpura-pura memperjuangkan isu adendum diraja demi memeras Perdana Menteri untuk mendapatkan dana pilihan raya sebanyak RM1 juta bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri merupakan satu fitnah.
“Apa niatnya pun saya tidak tahu? Menfitnah kami ketua-ketua UMNO Bahagian dengan menyatakan bahawasanya berpura-pura untuk berjuang isu adendum diraja Bossku yang bertujuan memeras Perdana Menteri untuk dana untuk persiapan pilihan raya sebanyak RM1 juta bagi satu Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Gulam Muszaffar turut menyindir pihak terbabit yang menurutnya sedang berhalusinasi dengan dakwaan tidak berasas.
“Akhir kata, alhamdullilah terima kasih kerana memberi pahala percuma kepada kami dan jumpa di Padang Mahsyar kerana menfitnah kami,” ujar beliau.
0 Ulasan