Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dalam temu bual bersama Utusan Malaysia sebagai satu bentuk ugutan politik yang tidak berasas.
Menurut beliau, dakwaan Saravanan bahawa MIC ditipu bulat-bulat oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN) hanya menunjukkan kelemahan parti itu yang kini hanya mempunyai satu kerusi Parlimen.
“Kalau sudah tahu ditipu, kenapa tidak lari? Kenapa terus hulur tengkuk? Itu membuktikan Saravanan sebenarnya mengugut.
"Nampak garang tetapi penakut,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Mohd. Puad berkata, Saravanan sedar MIC tidak cukup kuat untuk bertindak sendirian dan sebarang ugutan hanya akan memakan diri.
“Kenapa takut? Kerana MIC hanya ada satu Ahli Parlimen. Tidak cukup kuat untuk lari atau tarik sokongan.
"Dia takut, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran,” katanya.
Katanya lagi, Saravanan juga maklum bahawa apabila kuasa tidak lagi berada di tangan BN, tidak banyak yang boleh dilakukan – seperti mana pengalaman semasa Perikatan Nasional (PN) memerintah dahulu.
“Peranan UMNO/BN diketepikan. Hirarki UMNO tidak dihormati dalam pelantikan menteri. Tetapi UMNO ada nombor.
“Apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal mentadbir negara termasuk menggantung Parlimen semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), UMNO buat keputusan tarik sokongan.
"Walaupun hanya 15 orang, itu cukup untuk paksa Muhyiddin turun,” katanya.
Menurut beliau, kumpulan ‘Geng 23’ yang merujuk kepada beberapa pemimpin BN ketika itu, termasuk Saravanan, enggan mengikut keputusan parti kerana mahu kekal sebagai menteri.
“Geng 23 berjaya pujuk Muhyiddin jangan bubar Parlimen. Bila Ismail Sabri ambil alih jawatan Perdana Menteri, kekallah mereka jadi menteri, termasuk Annuar Musa dan Saravanan.
“Mengugut dengan kuasa tawar-menawar yang lemah tidak berkesan. Satu kerusi Tapah tidak cukup kuat untuk MIC. Lebih baik MIC kekal dalam BN,” katanya.
Sementara itu, dalam hantaran Facebook hari ini, Mohd. Puad mempersoalkan tindakan Saravanan membangkitkan isu akuan bersumpah (SD) dan pelantikan jawatan.
“Kenapa Saravanan tuduh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tipu dia bulat-bulat? Kononnya dia telah dijanjikan jawatan tetapi belum dapat sampai sekarang. Dia tahu itu hak prerogatif PMX.
“Kenapa dia tanda tangan SD sokong Muhyiddin sebagai PM ke-10? Mungkin dia telah dijanjikan jawatan.
“Kenapa dia batal SD itu? Pun ada kaitan dengan jawatan. Untuk jadi calon BN, mereka kena tandatangan SD, antaranya jika melompat kena bayar RM100 juta. Kalau ada PRK, belum tentu dia boleh menang semula,” katanya.
Menurut Mohd. Puad, dalam SD tersebut, semua calon BN juga setuju beri keizinan kepada ketua parti untuk berbincang bagi menubuhkan kerajaan.
“Maka apa hal Saravanan sign SD sokong Muhyiddin? Tidakkah itu tipu bulat-bulat?” katanya.
Mengulas kenyataan Saravanan bahawa MIC menyokong kerajaan perpaduan demi kestabilan, Mohd. Puad mempersoalkan motif sebenar beliau.
“Baguslah. Maka kenapa marah bila tidak dapat jawatan? Saravanan cabar berapa banyak UMNO boleh menang daripada 26 kerusi sedia ada. Itu kita tunggu PRU. Sekurang-kurangnya UMNO rampas Nenggiri di negeri kubu kuat PAS,” katanya.
Akhirnya, menurut Mohd. Puad, Saravanan sendiri mengakui bahawa beliau tidak nampak Perdana Menteri akan menunaikan janji berkaitan jawatan.
“Sudah tiga tahun. Tunaikan apa lagi? Katanya. Sebab itu saya kata, MIC perlu kekal dalam BN. Kuatkan kuasa tawar menawar. Itu lebih realistik,” katanya.
0 Ulasan