Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam menjadi bukti jelas komitmen beliau untuk menerajui pembangunan negara secara berstruktur dan menyeluruh.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, setelah berlangsung perhimpunan besar rakyat pada 26 Julai lalu bagi menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri, Anwar kemudiannya bangun di Dewan Rakyat membentangkan dasar ekonomi lima tahun yang lengkap untuk negara dan rakyat.
“Setelah mendengar Anwar membentangkan RMK-13 itu di Parlimen, adakah wajar lagi untuk rakyat menuntut Anwar Ibrahim turun sedangkan dialah orang yang diharapkan untuk menerajui dan melaksanakan cita-cita yang terkandung dalam RMK-13 tersebut?” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau, dengan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dijangka dalam tempoh dua tahun akan datang, RMK-13 memberi kelebihan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar yang dianggotai gabungan 18 parti dalam empat blok utama iaitu PH, BN, GPS dan GRS.
“Pembentangan ini menjelaskan apa yang akan dilakukan oleh Kerajaan Madani dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya kerajaan ini dipilih semula oleh rakyat untuk mentadbir negara,” ujarnya.
Katanya, dokumen lengkap RMK-13 itu boleh dianggap sebagai suatu bentuk manifesto kerajaan, walaupun ia dibentangkan atas nama kerajaan, bukan parti politik.
“Peluang Anwar membentangkan RMK-13 di Parlimen memberi keyakinan kepada rakyat, golongan usahawan serta pelabur dalam dan luar negara bahawa ia bukan manifesto politik semata-mata, sebaliknya dasar rasmi kerajaan yang diluluskan Parlimen,” katanya.
Tambah Hassan, dokumen tersebut turut merekodkan pencapaian sosioekonomi negara bagi tempoh 2021 hingga 2025.
“Contohnya, sasaran 10 tahun Ekonomi Madani adalah untuk menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia. Setakat 2024, Malaysia berada di kedudukan ke-36. Ini adalah satu fakta pencapaian yang dapat diukur,” katanya.
Beliau berkata, dengan membentangkan secara rasmi dan terbuka RMK-13 di Parlimen, Anwar mahu menunjukkan kepada rakyat dan dunia, termasuk institusi seperti Bank Dunia, IMF dan lain-lain, bahawa Malaysia mempunyai rancangan jelas menuju 2030.
“Malaysia ada sasaran ekonomi makro dan dasar meningkatkan darjat hidup rakyat dengan menangani kos sara hidup,” katanya.
Jelasnya lagi, satu kekuatan Anwar dan Kerajaan Madani ialah fokus terhadap usaha memperbaiki ekonomi negara.
“Ini ditunjukkan Anwar apabila dalam RMK-13, kerajaan mengemukakan 10 keutamaan kerencaman ekonomi, termasuk mereformasi industri semikonduktor tempatan,” katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan turut menetapkan hala tuju reformasi pendidikan, pasaran buruh dan peningkatan taraf sosioekonomi golongan sasar.
“Dalam setiap dasar dan inisiatif yang digariskan untuk lima tahun akan datang, pencapaian RMK-12 boleh dijadikan ukuran dan semakan yang jujur serta telus,” katanya.
Hassan berkata, RMK-13 turut merangkumi agenda reformasi perkhidmatan awam serta dasar untuk mempertingkat kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
“Sebagai contoh, kerajaan menyasarkan pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik menjelang 2030.
"Namun sehingga Mac 2025, hanya 179,769 unit siap dibina. Ini menunjukkan kerajaan sedar banyak lagi yang perlu dilakukan untuk reformasi perumahan dalam tempoh RMK-13,” katanya.
0 Ulasan