Tiada plot twist, ibu Zara tidak terlibat kematian anaknya - Peguam

 


Peguam mewakili ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir menafikan dakwaan kononnya wanita itu terlibat dalam kematian anaknya yang berlaku pada 17 Julai lalu.

Firma guaman Hamid Ismail & Shahlan Jufri dalam kenyataan hari ini berkata, tuduhan itu adalah tidak benar dan adalah satu fitnah jahat kepada anak guam mereka. 

"Tidak ada 'plot twist' dalam kes ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kematian Zara merupakan satu tragedi yang menyayat hati, apatah lagi ia berlaku dalam kawasan asrama sekolah.

Mereka menegaskan bahawa anak guam mereka, Noraidah Lamat, tidak mempercayai bahawa Zara membunuh diri, sebaliknya percaya wujud unsur jenayah yang menyebabkan kematian remaja berkenaan.

“Atas dasar ini, anak guam kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan,” katanya.

Namun, ujar mereka, pihak keluarga kesal dengan sikap membisu pihak berkuasa dalam tempoh awal selepas kejadian.

“Sejak 17 Julai 2025 sehinggalah 27 Julai 2025, anak guam kami tidak menerima sebarang maklumat daripada pihak polis tentang perkembangan siasatan. 

"Pihak polis juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media massa dalam tempoh tersebut. Kesunyian inilah yang merisaukan anak guam kami,” katanya.

Pada 28 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah memaklumkan siasatan sedang dijalankan dan dua hari kemudian, beliau memaklumkan bahawa 60 individu telah dipanggil memberi keterangan.

Firma guaman itu turut mendedahkan bahawa satu laporan polis tambahan telah dibuat pada 30 Julai di Balai Polis Sipitang.

“Anak guam kami mempunyai rakaman perbualan telefon dengan Zara yang memaklumkan bahawa terdapat pelajar-pelajar senior yang sering mengganggu dan/atau membulinya. 

"Antaranya ialah ‘Kak M’ yang pernah mengugut Zara dengan berkata: ‘Kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni’,” katanya.

Mereka juga mempersoalkan punca kematian Zara yang dikaitkan dengan insiden jatuh dari tingkat tiga bangunan.

“Wajah Zara tidak mempunyai kecederaan fizikal, lebam atau luka yang lazimnya berkait dengan kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi. 

"Ini ditambah lagi dengan tindakan pihak sekolah yang meminta anak guam kami agar tidak membuat laporan polis,” katanya.

Menurut mereka, sepatutnya bedah siasat dilakukan terhadap mayat Zara namun ia tidak berlaku sebelum proses pengebumian.

“Dalam laporan polisnya, anak guam kami memohon agar kubur Zara digali semula bagi tujuan inkues,” katanya.

Selaras dengan itu, satu surat telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara di Kota Kinabalu pada 31 Julai bagi memohon agar majistret diarahkan mengadakan inkues mengikut Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah.

“Kami berharap Jabatan Peguam Negara akan bersetuju dengan permohonan kami bagi membantu pihak polis menyelesaikan siasatan mereka dalam tempoh terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, firma guaman tersebut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan fitnah terhadap mana-mana individu yang dikaitkan dengan kematian Zara.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan polis, sila salurkan maklumat itu kepada pihak polis atau kepada kami,” katanya.

Mereka turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang prihatin dan membantu menularkan kes ini demi menuntut keadilan buat Zara.




Catat Ulasan

0 Ulasan