Polis menasihatkan orang ramai dinasihati untuk tidak menularkan isu Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah sekolah di Port Dickson, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, perbuatan itu dikhuatiri boleh mengganggu keharmonian dan ketenteraman awam.
Menurut beliau, polis telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut semalam dari lelaki tempatan berumur 32 tahun.
"Kejadian dipercayai berlaku 1 Ogos kira-kira pukul 11.08 pagi di sebuah sekolah jenis kebangsaan di Port Dickson, Negeri Sembilan semasa pemasangan Jalur Gemilang sempena Kempen Bulan Kemerdekaan.
"Pihak polis telah mengenal pasti individu terlibat iaitu seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun dan bendera tersebut juga telah diturunkan semula pada hari kejadian," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Maslan berkata, siasatan lanjut masih diteruskan oleh pihak polis sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan bagi arahan selanjutnya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Penggunaan Tidak Wajar), Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
0 Ulasan