PDRM terima pemakluman awal perhimpunan Turun Anwar

 


Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima pemakluman awal daripada penganjur iaitu Dewan Pemuda Pas berhubung perhimpunan Turun Anwar yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.

Menurut Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, perhimpunan itu dijangka melibatkan kehadiran antara 10,000 hingga 15,000 peserta termasuk gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan orang awam.

“Peserta dijangka akan berkumpul di lima lokasi utama iaitu Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Kampung Baru dan Kompleks SOGO sebelum bergerak ke Dataran Merdeka,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Beliau memaklumkan, setakat 16 Julai lalu, sebanyak 60 laporan polis telah diterima di seluruh negara berhubung perhimpunan itu, dengan 10 daripadanya dibuat di ibu negara.

Bagi memastikan keselamatan pengguna pengangkutan awam, polis akan meningkatkan kehadiran anggota di beberapa stesen utama yang berpotensi terkesan, antaranya Stesen LRT KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Plaza Rakyat, Bandaraya, Sultan Ismail serta stesen MRT Muzium Negara, Merdeka dan Bukit Bintang. 

Kawalan turut diperluas ke stesen monorel Imbi, Raja Chulan, Bukit Nanas, Medan Tuanku dan Chow Kit.

“Langkah ini diambil bagi memastikan kelancaran perkhidmatan awam tidak tergendala serta tidak menjejaskan kestabilan ekonomi negara. Pihak pengendali pengangkutan awam juga dinasihatkan mengambil langkah-langkah perlu untuk menjamin keselamatan,” katanya.

Beliau turut menjangkakan kesesakan lalu lintas di sekitar pusat bandar namun menjelaskan tiada penutupan jalan akan dilaksanakan.

“Pemantauan dan kawalan lalu lintas tetap akan dilaksanakan bagi memastikan kelancaran pergerakan orang ramai,” katanya.

PDRM turut menasihati penganjur dan peserta perhimpunan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada sejajar dengan hak berhimpun secara aman yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

“Peruntukan ini hendaklah digunakan secara baik dan berkhemah. Pihak penganjur dan peserta dinasihatkan agar tidak membawa objek tajam seperti besi atau kayu, senjata berbahaya, mercun, bom asap atau suar.

“Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan membawa atau mempamerkan sepanduk berunsur 3R (kaum, agama, institusi diraja), mengeluarkan ucapan berunsur fitnah, membawa kanak-kanak atau bertindak merusuh serta melawan arahan pihak berkuasa,” tegas beliau.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang mencetuskan kekacauan, rusuhan atau provokasi melampau sepanjang perhimpunan berlangsung.

“PDRM komited memastikan keselamatan di sekitar Kuala Lumpur sentiasa terkawal dan tidak menjejaskan kelancaran aktiviti harian serta ekonomi. Sebarang pertanyaan boleh disalurkan ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

BACA LAGI





Catat Ulasan

0 Ulasan