Kerajaan wajar laksana titah adendum - UMNO Pahang

 


Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang berpandangan bahawa adalah wajar titah adendum dilaksanakan oleh kerajaan memandangkan kewujudannya telah diakui oleh pihak pendakwaan. 

Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya terlebih dahulu menjunjung setinggi-tinggi kasih ke sisi  Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan mengabsahkan titah adendum berkaitan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Perkara tersebut turut diperjelaskan melalui warkah rasmi baginda yang diutuskan kepada Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohd. Nizar Najib merangkap anakanda Najib pada 2 Disember 2024.

“Warkah baginda secara tidak langsung turut mengabsahkan afidavit yang telah dikemukakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta saya sendiri sebagai Naib Presiden UMNO dalam prosiding mahkamah terdahulu, yang sebelum ini diketepikan atas alasan hearsay,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Menurut beliau, UMNO Pahang turut menyambut baik serta menyokong kenyataan yang telah dibuat oleh 160 ketua UMNO bahagian dari seluruh negara yang memohon agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan titah adendum tersebut.

“Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keterbukaan dan kesediaan  Perdana Menteri untuk bertemu dan berbincang bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik terhadap isu ini,” katanya.

BACA LAGI




Catat Ulasan

0 Ulasan