Puad dakwa wujud golongan 'survivors' dalam Bersatu

 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mendakwa wujud kumpulan ‘survivors’ dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau mendakwa, mereka sedang mencari jalan lebih selamat selepas merasakan parti itu tidak mampu bertahan lama.

“Pada mereka ada dua sebab mereka tidak boleh ‘survive’ dalam Bersatu jika tidak ada langkah baru dibuat,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Menurut Mohd. Puad, kumpulan tersebut berpandangan bahawa Bersatu tidak boleh terus bergerak ke hadapan jika hanya bergantung kepada sokongan daripada PAS semata-mata.

“Ia perlu rakan kerjasama baharu yang boleh beri tambah nilai. Terutamanya rakan kerjasama parti bukan Melayu yang signifikan,” katanya.

Tambah beliau lagi, kumpulan berkenaan juga beranggapan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu tidak lagi berupaya menerajui parti ke hadapan kerana kekeringan idea dan wajar diganti dengan kepimpinan baharu.

“Kedua, pada mereka Muhyiddin tidak boleh move on. Dia tandus idea dan perlu diganti. PAS anggap Hamzah pilihan terbaik. 

"Tetapi apakah Azmin dan Hamzah boleh berkompromi?” soalnya.

Mohd. Puad berkata, antara watak utama dalam kumpulan ‘survivors’ itu ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Dr. Radzi Jidin, Datuk Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Wan Saiful Wan Jan.

“Itu punca timbul cerita ada usaha memujuk UMNO untuk berunding tebuk atap,” katanya.

BACA LAGI




Catat Ulasan

0 Ulasan