PRU-16: Amat wajar UMNO bertanding solo

 

UMNO amat wajar bertanding secara solo menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Namun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pada masa sama, kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) dikekalkan bagi mengelakkan pertindihan kerusi.

“Akhirnya kalau mahu diteruskan Kerajaan Perpaduan ini, kerjasama politik mesti diperluaskan dalam konteks konsensus dasar dan negosiasi ‘kuasa Perdana Menteri’,” katanya dalam hantaran Facebook semalam. 

Mengulas maksud ‘kebangkitan semula’ UMNO, beliau menjelaskan bahawa tafsiran mudahnya ialah untuk kembali dominan dalam kerajaan dan memegang semula jawatan Perdana Menteri.

“Tetapi bolehkah UMNO bangkit dalam tempoh 10 tahun? Saya mencadangkan tempoh dua abad (20 tahun) sejak BN hilang kuasa pada PRU ke-14 (2018). 

"Kini tujuh tahun berlalu. Tinggal 12 tahun sahaja lagi iaitu dua tahun melebihi daripada 10 tahun yang dicadangkan oleh Dr. Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM),” ujarnya.

Menurut Mohd. Puad, tempoh 10 hingga 12 tahun tidaklah begitu lama, malah terdapat petanda bahawa UMNO sedang melalui proses kebangkitan semula.

“Memang ada. UMNO telah melepasi tempoh pembantaian dendam politik. UMNO cuba dihapuskan melalui penubuhan Bersatu. Pemimpin UMNO didakwa secara terpilih. 

"Aset dibeku supaya UMNO lumpuh. Ahli Parlimen dan ADUN UMNO lari termasuk yang menikam dari belakang.

“Semua itu diatasi. Kini UMNO kembali dalam kerajaan walaupun berkongsi kuasa. Bermula dengan PN dan kini Kerajaan Perpaduan. 

"Berada dalam kerajaan sebenarnya memberi ruang kepada UMNO untuk bernafas dan bangkit semula. UMNO memilih langkah strategik yang bijak di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Tambah beliau, dalam tempoh yang berbaki dua tahun menjelang PRU akan datang, UMNO perlu memperkukuh kedudukannya dalam kerajaan bagi mewujudkan legitimasi politik yang kukuh.

“Masih ramai ahli akar umbi belum menerima kerajaan perpaduan,” katanya.

Mohd. Puad turut bersetuju dengan pandangan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Rabi’ah bahawa UMNO mesti dilihat serius dalam usaha melakukan proses regenerasi parti.

“Saya setuju dalam tempoh itu UMNO perlu kukuhkan akar umbinya. Kuasai naratif negara. Menteri UMNO mesti dilihat perform. Dan perkasakan sayap-sayap parti,” katanya.




Catat Ulasan

0 Ulasan