Tun Mahathir mudah lupa lantikan politik semasa zamannya

 


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mengingatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa lantikan politik turut berlaku semasa beliau menjadi Perdana Menteri ketujuh.

Menurut beliau, pada umur 100 tahun, Dr. Mahathir memerlukan terapi minda untuk kekal sihat dan waras. 

"Justeru Mahathir perlu mengingati balik pendiriannya mengenai lantikan politik,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.

Menurut Mohd. Puad, Dr. Mahathir pernah menafikan pelantikan Datuk Seri Shukri Abdull sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika era Pakatan Harapan (PH) sebagai lantikan politik kerana beliau merupakan bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Tetapi bukankah itu ‘lantikan politik’ kerana Datuk Shukri sudah pun bersara awal. 

"Sama juga perlantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara. Hamid juga bersara awal. Dilantik semula atas lantikan kontrak.

“Ramai mempersoalkan bagaimana pegawai kontrak boleh dilantik jadi Ketua Polis Negara. Betulllah, mereka bukan orang politik. Tetapi melantik mereka yang sudah bersara guna kuasa politik pastinya tujuannya ‘politik’,” ujarnya.

Katanya lagi, pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM juga jelas merupakan lantikan politik meskipun beliau telah melepaskan jawatannya dalam PKR.

Tambah beliau, Dr. Mahathir juga tidak boleh menafikan bahawa pelantikan Tan Sri Tommy Thomas sebagai Peguam Negara merupakan lantikan politik yang mempunyai kaitan dengan DAP, seperti yang didedahkan dalam memoirnya sendiri.

“Apakah di zaman Tun Mahathir tidak ada perlantikan politik di dalam GLC dan syarikat kerajaan yang lain? Ini beberapa contoh sahaja:

1. Mohamed Haniff Khatri (Peguam PPBM) – Pengerusi PERDA

2. Wan Saiful Wan Jan (MPT PPBM) – Pengerusi PTPTN

3. Faiz Fadzil (Timbalan Ketua Pemuda PAN) – Pengerusi LKIM

4. Mazlan Aliman (AJK Tertinggi PAN) – Pengerusi LPP

5. Chan Foong Hin (Setiausaha DAP Sabah) – Pengerusi Pelabuhan Labuan (LPA)

6. Jeffrey Chew Gim Eam (DAP) – Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang,” katanya.

Justeru, katanya, tidak ada mana-mana parti politik atau pemimpin termasuk Dr. Mahathir boleh mendabik dada kononnya tiada campur tangan dan pelantikan politik semasa zaman pentadbiran mereka.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan