1MDB bukan penyumbang peningkatan hutang langsung negara

 


1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini mencatat lebihan sebanyak RM0.93 bilion kepada kerajaan sekali gus membuktikan syarikat itu tidak menyumbang kepada peningkatan hutang langsung negara.

Penganalisis politik, Datuk Eric See-To berkata, kedudukan itu menunjukkan 1MDB tidak terlibat dengan kenaikan hutang langsung kerajaan daripada RM686.8 bilion pada 2017 kepada RM1,304.2 bilion setakat 30 Jun 2025.

“1MDB kini mencatat lebihan sebanyak RM0.93 bilion kepada kerajaan - bermakna 1MDB tak menyumbang satu sen pun kepada kenaikan hutang langsung negara sebanyak RM617.4 bilion dari RM686.8b pada 2017 ke RM1,304.2b pada 30 Jun 2025,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Beliau menjelaskan, sehingga 30 Julai 2025, kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM42.17 bilion kepada 1MDB bagi tujuan membayar hutang pokok serta faedah terkumpul.

Namun, Eric memberitahu, kerajaan juga menerima semula dana berjumlah RM43.1 bilion yang terdiri daripada RM29.7 bilion hasil pemulangan dana sehingga 30 Julai 2025, tambahan RM1.4 bilion hasil penyelesaian dengan JPMorgan pada Ogos 2025 serta RM12 bilion daripada penjualan projek Bandar Malaysia kepada Petronas.

Katanya, lebihan sebanyak RM0.93 bilion wujud selepas jumlah RM43.1 bilion tersebut ditolak dengan RM42.17 bilion yang telah disalurkan.

Tambah beliau, prosiding pemulangan dana masih berjalan termasuk kes PetroSaudi di Switzerland, kes Goldman Sachs di Amerika Syarikat serta saman terhadap beberapa pihak lain antaranya Deutsche Bank.

“Masih berbaki satu hutang 1MDB berjumlah RM5 bilion yang hanya akan matang pada tahun 2039. 

"Ini bermakna, jika tiada lagi dana dipulangkan selepas ini sekalipun, impak kewangan maksimum kepada kerajaan hanyalah sekitar RM4.07 bilion (RM5b ditolak lebihan RM0.93b),” katanya.

Menurut Eric, daripada jumlah itu kerajaan turut menerima manfaat aset yang dibiayai dan diusahakan 1MDB seperti lapan pangkalan pertahanan baharu dan naik taraf termasuk TUDM Sendayan bernilai RM3 bilion, projek Tun Razak Exchange (TRX) bernilai RM40 bilion, tanah di Pulau Pinang bernilai RM2 bilion, tanah Pulau Indah bernilai RM500 juta serta terowong bawah tanah lima kilometer bernilai RM3 bilion.

“Kalau kerajaan PH1.0 tak batalkan perjanjian penyelesaian asal dengan IPIC tahun 2017, dana sebanyak US$7b (RM32b) dah lama sudah dikembalikan sebelum Dis 2020,” katanya.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan