Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, semalam mahkamah diberitahu bahawa Jho Low dan Nik Faisal Ariff Kamil ialah dalang sebenar dalam skandal SRC Internation.
Menurut beliau, masalahnya mereka berdua ialah “pelarian” yang masih tidak mampu dibawa pulang.
"Kalau tidak bersalah mereka tidak akan lari," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Mohd. Puad menambah, menurut peguamnya, Datuk Seri Najib Razak menjadi kambing hitam kerana salah tadbir urus korporat.
Beliau memberitahu, segala kesalahan ke atas Najib sekali gus menjadikan bekas Perdana Menteri itu mangsa pendakwaan terpilih.
"Mana tidaknya, Najib disaman, tetapi saman SRC terhadap beberapa yang lain ditarik balik.
"Contohnya Ismee Ismail, Suboh Yasin, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Azhar Osman Khairuddin dan Che Abdullah @ Rashidi Che Omar," jelasnya.
Mohd. Puad turut mempersoalkan kenapa Malaysia masih ketinggalan kaedah bawa balik pelarian korporat.
Beliau berkata, negara luar sudah menangkap dan menghukum Tim Leisner dan Roger Ng.
"Jasmine Loo yang juga pelarian, dapat ditangkap tetapi untuk menjadi “crown witness”. Polis merampas aset bernilai RM93.2 juta atas namanya.
"Maka selagi Jho Low dan Nik Faisal tidak di bawa balik, bagaimana Najib akan mendapat perbicaraan adil?" soalnya.
0 Ulasan