Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh terpaksa memendekkan umrah supaya dapat hadir ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang Jumaat ini.
Beliau yang berada di tanah suci Mekah mengesahkan telah dihubungi polis berhubung tuduhan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.
"Justeru, saya akan pendekkan umrah saya dan akan pulang ke tanah air bagi menghadapi pertuduhan tersebut pada hari Jumaat ini di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pukul 8.00 pagi. Mohon doakan saya.
"Jika ini harga yang saya perlu bayar untuk memartabatkan kedaulatan negara, saya tidak akan berganjak walau seinci sekali pun. Kita jumpa di mahkamah Jumaat ini," katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.
Tuduhan itu berkaitan perhimpunan aman anjuran Pemuda UMNO ekoran insiden bendera dipasang terbalik di sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang baru-baru ini.
Dalam hantaran berasingan, Dr. Akmal berkata, beliau boleh memilih untuk hidup senang-lenang dengan jawatan.
Namun, katanya, itu bukan niat beliau menceburi dunia politik.
"Saya di sini kerana mereka di bawah yang mengangkat dengan penuh harapan bahawa suara mereka didengar.
"Maka saya pilih mereka berbanding dengan kesenangan," jelasnya.
0 Ulasan