Veteran UMNO Johor membidas kenyataan biadab pimpinan DAP yang bukan sahaja memperlekehkan isu bendera terbalik, malah telah mengarahkan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh.
Pengerusinya, Datuk Othman Jais berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bahawa laporan polis akan dibuat di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan (menakutkan secara jenayah) dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan (mengeluarkan kenyataan mengaibkan dengan niat membangkitkan kekacauan) adalah satu bentuk politik intimidasi yang tidak wajar.
Menurut beliau, Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan dan identiti negara serta tiada kompromi dalam menjaga kehormatannya, dan tindakan tegas mesti dikenakan tanpa mengira siapa yang melakukan kesalahan.
"Namun jangan sekali-kali bendera negara dijadikan modal politik oleh DAP untuk mengaibkan pihak lawan.
"Veteran UMNO Johor dengan itu berdiri teguh di belakang Dr. Akmal dan menyeru seluruh rakyat agar sentiasa menghormati bendera negara sebagai tanda kasih dan taat setia kepada tanah air tercinta," katanya dalam kenyetaan media hari ini.
Othman menambah, Veteran UMNO Johor berpendapat bahawa insiden bendera terbalik adalah suatu perkara yang serius kerana melibatkan maruah serta kedaulatan negara.
Beliau memberitahu, pemasangan bendera negara diatur dengan jelas melalui Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] serta Peraturan-peraturan Bendera Kebangsaan 1963, yang memperuntukkan cara pemasangan Jalur Gemilang dengan betul dan apa yang dilarang.
"Oleh itu, mana-mana individu, pihak berkuasa tempatan, agensi, atau syarikat yang didapati cuai atau sengaja memasang bendera secara terbalik wajib dikenakan tindakan undang-undang tanpa pilih kasih," tegasnya.
0 Ulasan